BUKIT MERTAJAM – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memulakan pelaksanaan Pakej 1 Projek Penyuraian Trafik di antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua (PTJSD) bermula hari ini bagi mengurangkan kesesakan di laluan berkenaan.
PLUS dalam kenyataan berkata, NAZA Engineering & Construction Sdn. Bhd. dilantik sebagai kontraktor utama melalui proses tender terbuka bagi melaksanakan projek yang dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.
“Pakej 1 merangkumi kerja menaik taraf bulatan di Persimpangan Bertingkat Timur-Barat (KM135.15 – KM135.4) serta pembinaan jejambat baharu di Jalan Tun Hussein Onn (KM133.5 – KM134.5).
“Pakej ini juga merupakan sebahagian daripada keseluruhan projek PTJSD yang bertujuan menyuraikan trafik di kawasan terbabit.
“Pelaksanaannya akan memberi manfaat kepada kira-kira 200,000 pengguna harian dengan perjalanan yang lebih lancar,” kata hari ini.
Tambah PLUS, kerja-kerja awalan tidak akan menjejaskan aliran trafik memandangkan dua lorong sedia ada di kedua-dua hala lebuh raya masih dibuka kepada pengguna.
“Sebarang perkembangan terkini projek akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran media sosial rasmi PLUS,” katanya. – MalaysiaGazette















