Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diiringi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan menyerahkan watikah pelantikan sebagai Penasihat Khas MPUPK kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan Bil 1/2025 di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 21 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa agar proses mendapatkan sijil halal dalam kalangan usahawan dipermudahkan bagi mengelak birokrasi yang boleh menjejaskan pertumbuhan perniagaan tempatan.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Halal Negara berkata, isu berkenaan dibangkitkan susulan aduan daripada usahawan yang mendakwa proses sedia ada terlalu rumit dan memakan masa panjang.

“Kebetulan saya juga merupakan Pengerusi Majlis Halal Negara maka saya akan membawa isu sijil halal ini ke dalam mesyuarat supaya semua agensi dan kementerian yang terlibat dapat berganding bahu untuk mempermudahkan bukan menyusahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan di sini hari ini.

Pada mesyuarat sama, turut diadakan penyerahan watikah pelantikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Penasihat Khas Majlis Pembangunan Usahawan Negara yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan Bil 1/2025 di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 21 OKTOBER 2025

Menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, pelantikan itu bertujuan memperkukuh koordinasi antara majlis berkenaan dengan kerajaan-kerajaan negeri melalui Exco yang bertanggungjawab dalam bidang keusahawanan.

Beliau berkata, langkah itu juga selaras dengan peranan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang menyelaras lebih 10 agensi berkaitan bagi memperkasakan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara.

“Kini terdapat kira-kira 1.089 juta rakyat Malaysia terlibat dalam bidang PMKS, namun 71 peratus daripadanya terdiri daripada usahawan mikro. Jumlah ini masih belum mencukupi,” ujarnya.

Jelas beliau, pengukuhan sektor PMKS amat penting bagi meningkatkan kadar eksport negara sekali gus memberi impak positif terhadap pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast