Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

BUTTERWORTH – Empat individu termasuk dua wanita direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes penemuan mayat ejen insurans yang ditemui dalam bagasi dengan kesan kelar di leher di belakang Flat Ampang Jajar, di sini, pada 9 Oktober lalu.

Perintah reman terhadap dua lelaki masing-masing berusia 24 dan 38 tahun serta dua wanita berumur 42 dan 31 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal, bermula hari ini hingga 28 Oktober, bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, kesemua suspek yang memakai baju lokap polis dan bergari meninggalkan pekarangan Mahkamah Butterworth kira-kira jam 12 tengah hari selepas perintah reman diperoleh.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail ketika dihubungi mengesahkan tangkapan empat suspek tersebut.

“Ya betul kita ada tangkap empat suspek bagi membantu siasatan kes tersebut (mayat dalam bagasi) dan mereka dibawa ke mahkamah pagi tadi untuk mendapatkan perintah reman.

“Butiran lanjut tangkapan serta perkembangan kes saya akan berikan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang esok,” katanya.

MalaysiaGazette difahamkan, kesemua suspek ditahan semalam dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Butterworth serta Kampar, Perak.

Penahanan mereka termasuk dua beradik lelaki itu dilakukan oleh pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Pulau Pinang dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara hasil maklumat dan risikan susulan penemuan mayat mangsa yang dibunuh dengan kejam.

ARTIKEL BERKAITAN

Mayat lelaki dikelar, tangan diikat ditemui dalam bagasi belakang flat

Mayat dalam bagasi: Punca kematian disebabkan lemas – Polis

Media sebelum ini, melaporkan mayat ejen insurans, Lee Boon Han, 31, ditemui dalam keadaan kesan kelar pada leher, tangannya diikat serta mukanya diserkup plastik oleh pekerja penyelenggaraan longkang kira-kira pukul 1.43 tengah hari pada 9 Oktober lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail berkata, berdasarkan laporan bedah siasat yang diperoleh daripada pakar forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), punca kematian mangsa adalah akibat sesak nafas.

“Pihak polis juga telah merakamkan keterangan tiga individu susulan penemuan mayat serta kereta mangsa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast