GEORGE TOWN – Polis mengesahkan punca kematian lelaki yang mayatnya ditemui dalam sebuah bagasi dalam keadaan lehernya dikelar di belakang Flat Ampang Jajar, Jalan Permatang Pauh, Butterworth semalam disebabkan lemas (suffocation).
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, penemuan itu disahkan menerusi hasil bedah siasat yang dijalankan oleh pakar forensik Hospital Pulau Pinang.
“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati mayat ditemui dalam beg, dengan keadaan leher cedera, tangan diikat, dan kepala diserkup menggunakan plastik.
“Polis masih menyiasat sama ada mangsa dibunuh di lokasi lain sebelum mayat dibungkus dan dicampak di kawasan tersebut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, pihak polis kini giat memburu suspek yang terlibat dalam kes tersebut.
“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintendan Norhaslinda Rahmat di talian 04-576 2222 samb. 2275 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
Mayat dalam bagasi: Kereta mangsa ditemui 450 meter dari lokasi mayat
Identiti lelaki dikelar, disumbat dalam bagasi sudah dikenal pasti
Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan, polis menemui petunjuk baharu dalam siasatan kes pembunuhan kejam Lee Boon Han, 31 tahun.
Ia selepas kereta jenis Toyota Vios bernombor pendaftaran PPP3135, yang dipercayai dipandu mangsa sebelum dilaporkan hilang oleh keluarganya pada 8 Oktober lalu.
Kereta tersebut ditemui hari ini, kira-kira 450 meter dari lokasi penemuan mayat mangsa. – MalaysiaGazette















