JOHOR BAHRU – Kakak kepada seorang daripada dua kanak-kanak yang ditemukan lemas mendakwa beberapa kali bermimpi Muhammad Rayyan Iskandar Mohamed Hafizi, 9, sudah meninggal dunia.
Nur Qisha Adelia, 11, berkata, pada mulanya dia tidak memikirkan perkara tersebut namun selepas adiknya ditemui lemas barulah dia sedar itu merupakan satu petunjuk kepadanya.
“Semalam saya mimpi dia datang peluk saya dan minta maaf, dia cakap kak jangan nangis, kalau kau nangis macam mana aku nak pergi dengan tenang,” ujarnya.
Dia berkata demikian ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini, hari ini.
Dalam kejadian pukul 9.40 malam tadi, Muhammad Rayyan dan Muhammad Khalish Rayqarl Hasimudi, 10, ditemui lemas di Tasik Menawan, Taman Pelangi Indah di sini.
Kedua-dua mayat kanak-kanak berkenaan ditemui pukul 2.28 pagi tadi di bawah batu pada kedalaman tiga meter kira-kira lima meter dari tebing tasik.
Bercerita lanjut, Nur Qisha Adelia berkata, kali terakhir dia melihat adiknya itu ketika kanak-kanak tersebut bermain bola sepak sebelum keluar bersama-sama rakannya kira-kira pukul 6 petang.
“Saya nampak dia main bola kira-kira pukul 4 petang, lepas tu dia balik rumah sekejap pukul 6 petang. Itu kali terakhir saya nampak dia,” katanya.
Jelas anak sulung daripada dua beradik tu, adiknya sempat mengejutkannya pada pagi kejadian untuk bersarapan bersama-sama, namun dia terlewat bangun.
“Lepas maghrib dia tak balik, saya macam dah rasa sesuatu tak kena sebab teringat beberapa hari sebelum tu saya mimpi dia meninggal dunia. Tapi saya tolak fikiran tu sebab tak nak percaya benda bukan-bukan. Rupanya Allah nak beri petunjuk,” katanya.
Selepas mengetahui kejadian itu, dia dan keluarga bergegas ke kawasan tasik dan apabila tiba terus mengenali batang joran serta pemadam yang digunakan adiknya.
“Sebelum itu kami tunggu adik pulang, tetapi sampai ke malam dia tidak balik rumah. Ibu memaklumkan kepada ayah untuk mencari adik sebelum pihak polis menemui selipar milik adik dan kawannya.
“Bila nampak joran dan selipar itu saya dah tahu, itu memang adik,” ujarnya.
Sementara itu ibunya, Nur Shuhadah Ramli, 30, berkata, sebelum kejadian, Rayyan sudah dua minggu tidak keluar bermain meskipun diajak rakan-rakan.
“Petang itu, bila Muhammad Khalish datang ajak, dia terus keluar main. Katanya nak pergi bermain, tapi rupanya dia pergi memancing. Dia memang minat memancing,” ujarnya.
Rayyan dan Khalish katanya, memang berkawan baik sejak kecil di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pelangi Indah dan bersama- sama bersekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Pelangi Indah.- MalaysiaGazette
















