Abdul Latiff (dua kanan) menunjukkan antara barang yang dirampas dalam serbuan, selepas sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Polis menumpaskan Geng Richi yang aktif melakukan pecah rumah, kedai dan curi kenderaan selepas melakukan serbuan antara 21 September hingga 28 September lalu di sekitar Johor.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Abdul Latiff Mehat berkata, tujuh lelaki dan dua wanita tempatan berusia antara 21 hingga 37 tahun ditahan termasuk seorang lelaki yang merupakan dalang kegiatan tersebut.

“Siasatan awal mendapati ‘mastermind’ ini yang berusia 21 tahun akan menentukan rumah atau kedai yang akan dipecah masuk.

“Modus operandi mereka, selepas memecah masuk rumah atau kedai, mereka akan melarikan kenderaan yang mana kemudian kenderaan dicuri itu akan digunakan untuk melakukan jenayah sama di premis lain.

“Mereka memecah masuk rumah atau kedai apabila ada peluang dan rumah sasaran mereka antaranya rumah-rumah kampung,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Menurutnya, kenderaan sasaran mereka untuk dicuri adalah Proton Wira, Proton Satria dan Perodua Kancil memandangkan model kenderaan itu tidak dilengkapi ciri-ciri keselamatan.

Katanya, geng berkenaan aktif sekitar Johor Bahru, Seri Alam, Kulai, Pontian, Kluang dan Batu Pahat sejak 2022.

Lapan daripada sembilan suspek katanya, pernah dipenjara atas kes jenayah yang sama namun seperti tidak serik dan seolah menjadikan aktiviti itu sebagai satu profesion atau sumber pendapatan.

“Dengan tangkapan geng ini, kita berjaya menyelesaikan 32 kes dengan 15 kes pecah kedai, lapan kes pecah rumah dan sembilan kes curi kenderaan yang mana keseluruhan nilai kecurian lebih RM100,000.

“Kes ini membabitkan satu kes di Johor Bahru, enam di Iskandar Puteri, sembilan (Seri Alam), empat (Kulai), tiga (Batu Pahat), tiga (Pontian), lima (Kluang) dan satu (Muar),” katanya.

Pihaknya juga sedang menyiasat sama ada mereka ada pembabitan dalam dua kes di Kemaman, Terengganu.

Abdul Latiff berkata, sebanyak 32 kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya dan 18 daripadanya mendapat arahan pertuduhan.

Katanya, sebanyak lapan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah; tujuh pertuduhan Seksyen 339A/411 Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan atau terima harta curi secara tidak jujur, dua pertuduhan Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan satu pertuduhan Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana ceroboh rumah.

“Salah seorang suspek sudah dituduh di Mahkamah Majistret Kluang, manakala lima lagi akan dituduh hari ini Mahkamah Johor Bahru, Kulai dan Batu Bahat,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast