KUALA LUMPUR – Pas Selangor berpandangan tindakan saman oleh penduduk Putra Heights tidak diperlukan sekiranya Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan berjaya memastikan segala proses bersabit insiden letupan paip gas itu dijalankan dengan sempurna.
Timbalan Pesuruhjaya I Pas Selangor, Mohd Shafie Ngah berkata, proses itu bermula daripada siasatan, laporan akhir, pemberian bantuan dan pampasan serta bantuan selepas kejadian tersebut.
Bagaimanapun, dakwa beliau, sehingga kini masih kedengaran keluhan penduduk tentang kesusahan yang dialami mereka meskipun selepas beberapa bulan insiden tersebut berlaku.
Lebih mengecewakan, apabila ketidaktelusan siasatan yang dikatakan berlaku lantaran daripada laporan akhir tragedi tersebut yang penuh persoalan daripada jawapan.
“Adalah terlalu awal untuk menghukum siapa sebenarnya yang bersalah dan akan diputuskan bersalah oleh Mahkamah.
“Namun begitu, Pas Selangor berharap agar isu ini dapat diselesaikan sebelum proses perbicaraan yang panjang bermula yang bukan sahaja mengakibatkan kesusahan yang berpanjangan kepada mangsa yang terkesan, malah akan menyukarkan mereka untuk keluar daripada belenggu emosi kejadian yang akan terus menghantui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 18 Oktober lalu, seramai 36 penduduk Taman Putra Harmoni, Putra Heights memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung kejadian letupan paip gas di Putra Height pada 1 April lalu.
Mereka yang juga merupakan sebahagian daripada penduduk yang terkesan daripada kejadian tersebut menuntut pampasan atas kerugian harta, kesihatan dan trauma emosi selain menuntut keadilan dan ketelusan siasatan.
Sementara itu, Mohd Shafie menyifatkan saman yang difailkan tersebut merupakan tanda bermulanya usaha mencari keadilan buat mangsa-mangsa kejadian dan boleh dilihat sebagai jalan akhir setelah usaha yang lain tidak berjaya untuk menoktahkan kegusaran, kebimbangan dan kesusahan mereka.
Tambah beliau, pihaknya juga berpendirian walaupun terdapat tindakan mahkamah yang telah dimulakan, usaha untuk melakukan siasatan yang lebih terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar perlu terus dilakukan khususnya oleh pakar-pakar teknikal yang benar-benar bebas.
Jelasnya, ia akan membolehkan usaha menyemak semula kelulusan pembangunan yang telah diberikan, integriti saluran paip gas di seluruh negara dan prosedur pemantauan yang berkesan dilakukan segera. – MalaysiaGazette
















