Sultan Nazrin Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM6,773,121.81 daripada Lembaga Tabung Haji yang diwakili Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif Mustakim Mohamad.

 

KUALA LUMPUR – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM14,294,877.22 (RM14.3 juta) daripada tujuh syarikat korporat kepada Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR) di Istana Perak, Changkat Persekutuan, di sini semalam.

ZAPAR dalam kenyataan media memaklumkan penyerahan zakat perniagaan berkenaan didahului Etiqa General Takaful Berhad yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Khairoel Faiezy Hasnan berjumlah RM1.8 juta.

Katanya, ia disusuli FGV Holdings Berhad diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Fakhrunniam Othman berjumlah RM418,065; Lembaga Tabung Haji diwakili Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Mustakim Mohamad berjumlah RM6,773,121 dan diikuti Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), yang disampaikan oleh Timbalan Pengurus Besar (Operasi) NAFAS, Saripol Baharin Karim berjumlah RM903,690.41.

Selain itu, Pintas Utama Sdn Bhd yang diwakili Pengerusi Eksekutif, Tan Sri Ir. Zainudin Karjan berjumlah RM500,00.00; Plus Malaysia Berhad di wakili Ketua Pegawai Komersial, Mohd Fauzi Puniran sebanyak RM2.9 juta dan Takaful Malaysia diwakili, Pengerusi Badan Penasihat Syariah, Dr. Nik Abdul Rahim Nik Abdul Ghani berjumlah RM1 juta.

Baginda Sultan Perak berkenan menyerahkan zakat perniagaan kepada Yang Dipertua, Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) Tan Sri Mohd. Annuar Zaini.

Sultan Nazrin turut berkenan mengurniakan Warkah Penghargaan atas Penyerahan Aset Wakaf Hotel Seri Warisan Taiping kepada Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR).

Warkah penghargaan tersebut diterima Timbalan Ketua Pengarah JAWHAR, Hairolanuar Mohamad.

Majlis penyerahan turut disaksikan Raja Kecil Besar Perak, Raja Datuk Seri Azlan Muzaffar Shah; Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin; Orang Kaya Besar Maharaja DiRaja, Datuk Sr Syed Jaafar Syed Aznan; Orang Kaya Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda, Datuk Seri Mohamad Othman Zainal Azim; Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh dan Pengurus Besar ZAPAR, Ahmad Nazim Md.Tajuri.

Zakat memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dan sosial umat Islam dan penyerahan zakat oleh syarikat korporat amat memberi manfaat yang besar kepada golongan asnaf di Perak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast