KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pelanjutan tarikh tutup permohonan undi pos bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 sehingga 27 Oktober ini.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, pelanjutan itu melibatkan dua kategori pemohon iaitu Kategori 1B bagi warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara dan Kategori 1C iaitu agensi dan organisasi.
“Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) ingin memaklumkan bahawa tarikh tutup untuk permohonan undi pos bagi Kategori 1B (warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara) dan Kategori 1C (Agensi/Organisasi) dilanjutkan hingga 27 Oktober 2025 (Isnin),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi lebih banyak masa kepada pengundi yang layak untuk membuat permohonan undi pos terutama bagi mereka yang berada di luar negara atau terlibat dengan agensi tertentu.
“Mana-mana pengundi yang layak di bawah Kategori 1B dan Kategori 1C boleh memohon secara dalam talian (online) di pautan https://myspr.spr.gov.my hingga 27 Oktober 2025 (Isnin),” katanya.
Dalam pada itu, SPR turut menasihati pemohon supaya membuat permohonan lebih awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan menjelang tarikh tutup.
Dalam masa sama, pengundi yang memerlukan maklumat lanjut atau bantuan boleh menghubungi talian 03-8892 7080 atau 03-8892 7018 untuk sebarang pertanyaan.
“Untuk sebarang pertanyaan atau keterangan lanjut, sila hubungi talian 03-8892 7080 atau 03-8892 7018,” katanya.
SPR minggu lalu mengumumkan tarikh penamaan calon pada 15 November, disusuli pengundian awal pada 25 November dan pengundian biasa pada 29 November.
Seramai 1,784,843 pemilih layak mengundi pada pilihan raya kali ini mengikut Daftar Pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos Tahun 2025 yang dikemas kini sehingga 5 Oktober 2025.
Jumlah itu mengandungi mengandungi seramai 1,784,843 orang pemilih yang terdiri daripada 1,760,417 orang pengundi biasa, 11,697 orang tentera serta pasangan, dan 12,729 orang polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA).
Sejumlah RM116.8 juta diperuntukkan bagi melaksanakan PRN kali ke 17 melibatkan seramai 33,002 petugas pilihan raya bagi melicinkan perjalanan pilihan raya. – MalaysiaGazette
















