Muhammad Nuzulnudin (tengah) selepas majlis MoU dan MoA antara Vast Evolve Sdn Bhd dengan dua rakan kongsi dimerterai di Jakarta, Indonesia, semalam

JOHOR BAHRU – Vast Evolve Sdn. Bhd. melabur RM100 juta di Dumai, wilayah Riau, Indonesia bagi membangunkan kemudahan teknologi hijau bersepadu, loji tenaga boleh baharu, pusat kitar semula dan pemprosesan serta hab inovasi lestari.

Syarikat yang memajukan pembangunan lestari dan inovasi teknologi hijau berpangkalan di Johor Bahru berkata, pelaburan tersebut  dilakukan menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) dengan dua rakan kongsi di Indonesia.

“MoU serta MoA yang bersejarah antara Vast Evolve Sdn Bhd dan dua rakan kongsi Indonesia, Kamar Dagang dan Industri (Kadin) Kota Dumai serta PT Bintang Kembar dilakukan di Jakarta, semalam.

“Pelaburan ini menjadikan Dumai sebagai satu ekosistem perindustrian hijau terkemuka di Indonesia sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan daya ketahanan alam sekitar jangka panjang,” jelas kenyataan itu hari ini.

Menerusi MoU dan MoA yang ditandatangani, Vast Evolve dan rakan-rakan kongsi Indonesia akan bekerjasama dalam beberapa inisiatif utama, termasuk:

Penubuhan Pusat Teknologi Hijau yang memberi tumpuan kepada tenaga boleh baharu dan sistem sisa-ke-tenaga; Pelaksanaan program Tadbir Urus, Sosial dan Alam Sekitar (ESG) dan kredit karbon rentas sempadan bagi mengukuhkan pelaburan bertanggungjawab; Penubuhan hab penyelidikan dan inovasi untuk memperkasa bakat tempatan serta memupuk pemindahan ilmu; Pelaksanaan Projek Ekonomi Kitaran yang menggalakkan aktiviti kitar semula, pembuatan lestari dan pertanian hijau.

Jelas kenyataan itu lagi, kerjasama tersebut menyokong Rencana Pembangunan Jangka Menengah Nasional (RPJMN) Indonesia serta sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Malaysia, mewujudkan jambatan sinergi dalam inovasi, tadbir urus alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi di rantau Nusantara.

Sementara itu, Pengarah Urusan Vast Evolve Sdn Bhd, Datuk Muhammad Nuzulnudin Maat berkata, inisiatif itu menunjukkan visi syarikat untuk memperkukuh ekonomi hijau, memperluas penggunaan tenaga boleh baharu serta mempertingkat amalan ESG di seluruh ASEAN.

“Kerjasama ini menandakan era baharu hubungan antara Malaysia dan Indonesia, membuka laluan kepada pertumbuhan industri yang mampan serta kemakmuran bersama,” katanya yang juga Pengerusi Vast Group.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast