KUALA LUMPUR – Kegagalan brek dan gear berfungsi disyaki menjadi punca sebuah lori tanah terbalik dan melanggar tiga kenderaan lain di lampu isyarat Jalan Bukit Cerakah, Meru, Klang Selasa lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Pemangku Superitenden Mohd Rahimi Zainol yang mengesahkan perkara itu berkata, ia diperoleh hasil rakaman keterangan terhadap pemandu lori terbabit.
“Semakan mendapati, pemandu lelaki berusia 35 tahun itu mendakwa lori terbabit mengalami masalah brek dan gear sebelum hilang kawalan di lokasi itu.
“Lori itu juga akan dibawa untuk pemeriksaan Puspakom dan kimia bagi siasatan berhubung kemalangan itu.
“Bagaimanapun, kita akan maklumkan sebarang perkembangan siasatan semasa ke semasa,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Tambah beliau, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian itu di bawah Sesyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan sebuah lori tanah hilang kawalan dan merempuh tiga kenderaan melibatkan lori sampah dan dua kereta Myvi di lampu isyarat Jalan Bukit Cerakah.
Dalam kejadian jam 8.57 pagi pada Selasa itu menyebabkan enam individu termasuk pemandu lori tanah cedera. – MalaysiaGazette
















