KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menggesa kerajaan negeri baharu yang akan terbentuk selepas Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah kelak mengambil tanggungjawab penuh berhubung isu pengembalian 40 peratus hasil negeri itu daripada Persekutuan.
PKR Sabah dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, ia termasuk dalam merangka dan memperincikan kaedah pengiraan serta mekanisme pembayaran hasil tersebut melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).
Menurutnya, Kerajaan Negeri Sabah baharu perlu memainkan peranan aktif dalam memastikan formula yang dipersetujui kelak benar-benar mencerminkan hak dan realiti ekonomi Sabah, bukan sekadar angka di atas kertas.
Jelasnya, ini termasuk melibatkan pakar perundangan, ekonomi dan fiskal negeri bagi memastikan setiap sen dikira dengan tepat dan berpaksikan semangat Persekutuan Malaysia.
“Pada masa yang sama, Keadilan Sabah menekankan keperluan untuk menyediakan jentera pentadbiran kerajaan negeri yang cekap dan telus bagi memastikan hasil 40 peratus ini dimanfaatkan secara optimum untuk kesejahteraan rakyat Sabah.
“Perancangan menyeluruh perlu dibuat agar dana ini digunakan secara berstrategik untuk membina infrastruktur asas, memperkukuh pendidikan dan kesihatan, serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu agar rakyat Sabah benar-benar merasai hasil perjuangan ini dalam kehidupan seharian mereka,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Madani telah mencapai kemajuan positif dalam menyelesaikan banyak isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi Sabah.
Beliau berkata, menerusi Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, sebanyak 13 tuntutan di bawah MA63 telah diselesaikan.
Sementara itu, kenyataan tersebut menambah, PKR Sabah juga berpendirian di bawah kepimpinan Anwar, Kerajaan Madani bukan sahaja mengiktiraf MA63 di atas kertas, tetapi sedang melaksanakan semangatnya dalam tindakan nyata.
“Keadilan Sabah akan terus menyokong usaha ini demi memastikan keadilan, pembangunan dan maruah rakyat Sabah terus terbela di bawah panji Malaysia MADANI yang selari dengan perlembagaan PKR,” katanya. – MalaysiaGazette
















