Pihak polis dan forensik menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

GEORGE TOWN – Mayat reput tanpa identiti ditemui di Tanah Perkuburan Cina, Jalan Batu Gantung di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai penemuan mayat itu kira-kira jam 7.30 malam.

“Mayat itu ditemui dalam keadaan terbaring terlentang di kawasan tanah perkuburan berkenaan dan pemeriksaan di tempat kejadian juga tidak menemui sebarang unsur jenayah.

“Selain itu, hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang hari ini tidak dapat mengenal pasti punca kematian disebabkan keadaan mayat telah reput,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Abdul Rozak, siasatan lanjut pihak polis mendapati si mati dipercayai seorang lelaki tempatan berusia 79 tahun yang dilaporkan keluar dari sebuah pusat jagaan di Jalan Perak sejak 13 Oktober lalu.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti identiti sebenar si mati,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast