KUALA LUMPUR – Pas menyelar kenyataan sinikal Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng supaya ditubuhkan ‘Pas Airlines’ susulan tindakan parti itu yang menggesa supaya Malaysia Airlines (MAS) tidak menghidangkan alkohol.
Lajnah Kesihatan Pas Pusat, Dr Mohd Mazri Yahya berkata, kenyataan itu bukan sahaja tidak praktikal malah disifatkan sebagai politik ekstrem DAP.
Ujarnya, isu larangan arak dalam syarikat penerbangan itu jika dilihat dengan lebih luas dan rasional bukan soal hak semata-mata sebaliknya menyentuh aspek keselamatan awam, kesihatan, sensitiviti sosial dan maruah negara.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat turut merujuk Kajian University College London (2018) yang menunjukkan alkohol bertindak dua kali lebih kuat di udara berbanding di darat kerana tekanan oksigen yang rendah dan kadar dehidrasi yang cepat.
Dalam erti kata lain, tambahnya, dua gelas wain di pesawat adalah bersamaan empat gelas di darat.
“Cadangan Pas supaya arak dihentikan dalam penerbangan Malaysia Airlines bukanlah ekstrem. Ia praktikal, berpandangan jauh dan berasaskan keselamatan.
“DAP mungkin melihatnya sebagai sekatan terhadap hak individu tetapi hak untuk selamat dan dihormati lebih besar daripada hak untuk mabuk di udara.
“Malaysia mampu menjadi pelopor kepada konsep “Penerbangan Sejahtera” — terbang tinggi tanpa arak tetapi penuh nilai, maruah dan tanggungjawab,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.
Semalam, Lip Eng pada sidang Dewan Rakyat mencadangkan Pas menubuhkan syarikat penerbangan sendiri iaitu ‘Pas Airlines’ susulan bantahan terhadap hidangan alkohol dalam penerbangan MAS dan menegaskan pilihan untuk mengambil minuman beralkohol adalah hak individu yang diberikan kepada bukan Islam.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pas Hulu Selangor, Mohd Hasnizan mengulangi gesaan di Dewan Rakyat supaya MAS tidak lagi menghidangkan alkohol dalam penerbangan, dengan alasan pramugari dan pelanggan beragama Islam berada dalam dilema kerana tidak selesa disebabkan perkara tersebut.
Sementara itu, Dr Mohd Mazri menambah, penerbangan milik negara Islam seperti Malaysia seharusnya mencerminkan identiti, nilai dan adab nasional.
Jelasnya, larangan arak bukan sekadar keputusan agama tetapi satu bentuk tanggungjawab sosial dan kesopanan antarabangsa.
“Tambahan pula, imej antarabangsa Malaysia tidak diukur melalui arak, tetapi melalui kualiti perkhidmatan, keselamatan dan nilai kemanusiaan.
“Jika Arab Saudi, Brunei dan Kuwait boleh menjadi contoh global penerbangan profesional tanpa arak, Malaysia tidak akan hilang maruah dengan langkah yang sama — malah akan menaikkan imejnya di dunia Islam dan Asia Tenggara,” katanya.
Sehubungan itu, Dr. Mohd Mazri berkata, Pas menggesa supaya MAS menilai semula statistik sebenar penggunaan alkohol di udara dan mencari alternatif minuman lebih sihat dan premium seperti mocktail tropika, kopi kampung premium, teh tarik klasik dan jus tempatan.
Tambahnya, kempen kesedaran dalam kalangan penumpang juga perlu dilakukan dengan menjelaskan kepada umum bahawa dasar tidak menghidangkan arak itu adalah berpaksikan keselamatan dan kesihatan bukan agama.
Selain itu latihan komunikasi boleh diberikan supaya kru penerbangan dapat menerangkan perubahan tersebut dengan diplomatik dan profesional, dengan dasar tersebut boleh dimulakan dengan penerbangan domestik sebelum diperluaskan ke laluan antarabangsa. – MalaysiaGazette















