Foto: FB Masjid Rusila Official

KUALA LUMPUR – Pihak pengurusan Masjid Rusila di Marang Terengganu menafikan ada menerima sebarang permohonan atau pemakluman untuk apa-apa aktiviti di masjid itu daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sama ada secara lisan atau bertulis.

Pengerusi Jawatankuasanya, Mohd Azri Abdul Aziz berkata, pihaknya hanya menerima pemakluman lisan dan permohonan maaf melalui telefon daripada pihak Maritim Malaysia selepas laporan polis dibuat.

Terdahulu, jelas beliau, pihaknya telah menghubungi polis untuk mendapat pengesahan sekiranya terdapat sebarang aktiviti daripada mana-mana agensi yang berkaitan di masjid itu.

“Jawapan yang kami terima tiada apa-apa aktiviti yang dijalankan pada masa dan tarikh tersebut di bawah pemakluman mereka,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook Masjid Rusila Official hari ini.

KENYATAAN media pihak pengurusan Masjid Rusila, Marang, Terengganu berhubung isu latihan oleh Maritim Malaysia. – SUMBER: Masjid Rusila Official

Sehubungan itu, tambah Mohd Azri, pihaknya kecewa dengan sikap dan tindakan tidak profesional yang ditunjukkan oleh Maritim Malaysia didalam menangani isu terbabit.

Semalam, Maritim Malaysia menafikan dakwaan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pasukan elit agensi itu melakukan serangan di Masjid Rusila pada 19 September lalu.

Ketua pengarahnya, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, tuduhan itu bukan sahaja tidak berasas tetapi satu fitnah berniat jahat terhadap agensi tersebut.

Menurut Mohd Rosli, latihan yang dimaksudkan Takiyuddin itu merupakan modul Survival, Evasion, Resistance and Escape (SERE) yang dijalankan oleh Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team).

Malah, jelasnya, pihak masjid telah dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran pelatih dan tiada sebarang gangguan terhadap jemaah mahupun aktiviti keagamaan berlaku.

Terdahulu, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu pada sidang Dewan Rakyat semalam menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan penjelasan berhubung satu latihan pasukan komando yang didakwa dilakukan Maritim Malaysia di masjid berkenaan.

Menurut beliau, kejadian pada 19 September lalu melibatkan sekumpulan individu seramai 10 hingga 15 orang dalam lima buah kenderaan yang memasuki kawasan masjid secara mengejut dan mencurigakan sekitar pukul 10 pagi.

Dakwa beliau, mereka dikatakan memasuki ruang solat termasuk kawasan muslimat dengan memakai kasut tanpa sebarang makluman kepada pihak masjid. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast