KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan dakwaan pemalsuan dokumen oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia susulan daripada pengakuan JPN sebelum ini yang tidak mempunyai bukti mengenai tempat kelahiran ketujuh-tujuh pemain.
Bagaimanapun, beliau mendakwa jabatan itu mengemukakan hanya salinan pengesahan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi mengemukakan permohonan untuk menjadi pemain mewakili negara.
“JPN mengesahkan mereka memang tidak mempunyai bukti menunjukkan ketujuh-tujuh orang ini, JPN mengakui tetapi untuk permohonan FIFA, JPN menunjukkan salinan sah sebagaimana asal,” katanya pada sidang media.
Menurut Takiyuddin, isu berkenaan boleh dianggap sebagai skandal kewarganegaraan terbesar yang perlu dijelaskan kepada rakyat.
“Kita kesal bila YB Kangar (Zakri Hassan) tanya dikatakan ini peluru kapur, tidak boleh begitu,” ujar beliau.
Terdahulu, Saifuddin berkata, KDN telah meluluskan tujuh pemain daripada FAM untuk mendapatkan kewarganegaraan melalui jalur naturalisasi.
Sehubungan itu katanya, tidak ada berlaku sebarang pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya oleh FAM.
Sementara itu, Takiyuddin berkata, isu yang dibangkitkan oleh PN bukannya berniat untuk menyerang individu.
Sebaliknya katanya, pertikaian berkenaan melibatkan dasar prosedur operasi standard (SOP) yang dikhuatiri menjejaskan keselamatan rakyat.
“Kita tidak mahu menyerang sesiapa, kita sebagai wakil rakyat mempersoalkan isu dasar dan SOP,” katanya.
FIFA sebelum ini mengemukakan bukti berhubung penggunaan dokumen palsu dalam proses pendaftaran tujuh pemain berdarah warisan Malaysia.
Dalam laporan rasmi yang ditandatangani Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FIFA, Jorge Palacio, badan induk itu menjelaskan wujud percanggahan ketara antara sijil kelahiran asal yang diperoleh FIFA dengan dokumen yang dikemukakan FAM bagi menyokong kelayakan pemain-pemain terbabit.
Antara kes yang menjadi tumpuan ialah pemain tengah kelahiran Belanda, Hector Hevel apabila salinan dokumen FAM mendakwa datuknya lahir di Melaka, namun sijil asal menunjukkan tempat lahir sebenar di The Hague, Belanda.
Situasi sama turut membabitkan Jon Irazabal yang mana dokumen FAM menyatakan datuknya berasal dari Kuching, Sarawak, sedangkan rekod asal mengesahkan kelahiran di Villa de Guernica, Sepanyol.
FIFA turut menyenaraikan semakan tempat lahir asal keluarga Gabriel Palmero dilahirkan di Santa Cruz de la Palma, Sepanyol dan datuk Facundo Garcés berasal dari Santa Fe de la Cruz, Argentina.
Datuk kepada Rodrigo Holgado pula dilahirkan di Buenos Aires, sementara nenek kepada Imanol Javier Machuca berasal dari Roldan manakala João Figueiredo, datuknya berasal dari Abre Campo, Brazil.
Kesalahan melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dan penggunaan dokumen palsu dalam urusan rasmi itu menyaksikan FAM dikenakan denda RM1.8 juta, manakala setiap pemain terbabit didenda RM11,000 serta digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak. – MalaysiaGazette
















