KUALA LUMPUR – Calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2025 dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan segera sekiranya terlibat dan terkesan dengan bencana alam.
Calon juga boleh menghubungi bilik gerakan Lembaga Peperiksaan dan JPN di seluruh negara.

Kementerian Pendidikan Malaysia berkata, pihaknya cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana alam khususnya banjir menjelang peperiksaan SPM 2025.
KPM sentiasa bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Meteorologi Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan agensi lain yang berkaitan untuk memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan SPM Tahun 2025 berjalan lancar.
Malah, KPM sentiasa dalam keadaan siap siaga dan komited dengan langkah persediaan serta operasi standard yang sewajarnya bagi memastikan peperiksaan SPM Tahun 2025 dapat diteruskan dengan lancar dan teratur.
KPM juga mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat, katanya. – MalaysiaGazette
















