SHAH ALAM – Festival Mega I LINDUNG U 2025 anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang membuka tirai hari ini disasarkan menarik seramai 70,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya hingga Ahad ini.
Berlangsung bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam di pekarangan Stadium Shah Alam di sini, festival yang julung kali diadakan itu memberi peluang kepada orang ramai khususnya para pencarum PERKESO untuk mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan perkhidmatan perlindungan sosial tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, festival itu juga bertujuan mempromosikan usaha penjenamaan semula produk yang ditawarkan agensi berkenaan iaitu LINDUNG Pekerja; LINDUNG Kerjaya; LINDUNG Kendiri dan LINDUNG Kasih.
Secara ringkas, jelas beliau, kesemua produk di bawah jenama `LINDUNG’ itu meliputi pelbagai aspek kesejahteraan pekerja termasuk mereka yang masih bekerja; mereka yang kehilangan pekerjaan; pekerja sendiri khususnya yang terlibat dalam ekonomi gig serta perlindungan kepada ahli keluarga pencarum.

“Sehubungan itu, kita mengajak seluruh masyarakat khususnya yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor untuk hadir memeriahkan festival ini dan dalam masa sama mendapatkan seberapa banyak maklumat berkenaan perkhidmatan perlindungan sosial yang kita tawarkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan festival itu, hari ini.
Selain itu, tambah Dr. Mohammed Azman, festival tersebut juga memberi peluang kepada mana-mana pihak khususnya majikan yang dikenakan kompaun Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) untuk melunaskan kompaun mereka.
Jelasnya, diskaun FCLB itu ditawarkan sehingga 80 peratus dalam usaha PERKESO meringankan beban para majikan terlibat selain mengelakkan mereka daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Sementara itu, ditanya sama ada festival serupa akan diteruskan di negeri-negeri lain selepas ini, beliau menambah, pihaknya turut berhasrat menganjurkannya di seluruh negara dengan Pulau Pinang mungkin menjadi destinasi seterusnya.
“Pulau Pinang menjadi pilihan seterusnya sebab Menteri KESUMA (Menteri Sumber Manusia, Steven Sim) berasal dari sana, mungkin dianjurkan pada November atau Disember ini,” katanya.
Selain pelbagai pengisian menarik aktiviti di reruai utama PERKESO, pelbagai lagi tarikan disediakan sepanjang penganjuran festival itu seperti hampir 1,000 peluang kerjaya dalam Karnival LINDUNG Kerjaya MYFutureJobs.
Peluang pekerjaan itu ditawarkan oleh syarikat terkemuka seperti DRB-Hicom Auto Solutions Sdn Bhd, Watsons, Top Glove Corporation Berhad, Media Prima Berhad, dan Mega Fortis Berhad di pelbagai peringkat dengan tawaran gaji sehingga RM10,000.
Di samping itu, pengunjung juga boleh mengetahui pelbagai lagi maklumat menerusi perkongsian dalam sesi borak santai bersama aktivis kemanusiaan Zainal Rashid Ahmad (ZRA), tausiah oleh Sheikh Mahmood Al Wasobi serta ceramah agama oleh Ustaz Mad Kecik.
Karnival itu turut menghimpunkan lebih 60 gerai makanan viral dan popular selain pengunjung juga berpeluang menjalani saringan kesihatan percuma oleh Bahagian Perubatan dan Pemulihan PERKESO serta saringan kanser percuma oleh Majlis Kanser Nasional (MAKNA).
Menambah kemeriahan, pengunjung boleh menyertai aktiviti seperti dekorasi kek tiramisu ‘LINDUNG Kasih’, bual bicara ‘LINDUNG Pekerja’, pertandingan e-Sport ‘LINDUNG Kendiri’, perkongsian inspirasi bersama pempengaruh Makkiah Ferry, serta pertunjukan silap mata oleh Mawie Magic.
Setiap malam, pentas utama bakal dihangatkan dengan Konsert I LINDUNG U menampilkan barisan artis popular seperti Rabbani, Drama Band, Kartika, Kristal X dan Sofazr.
Malah, pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah menarik bernilai keseluruhan RM20,000 seperti tablet, basikal, peralatan elektrik dan banyak lagi. – MalaysiaGazette
















