JOHOR BAHRU – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang terbabas di Kilometer 11, Lebuhraya Iskandar Sultan di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 1.57 pagi melibatkan motosikal jenis Honda NF125.
“Kemalangan tersebut berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa yang berusia 16 tahun dari arah Iskandar Puteri menuju ke Johor Bahru telah hilang kawalan dan terbabas ke lorong kanan.
“Mangsa kemudian terjatuh atas jalan tersebut dan menyebabkannya mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu dan berbahaya.
Pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tersebut untuk menghubungi atau menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Noor Azlina Abdul Raif 013-2864878.- MalaysiaGazette
















