PASIR GUDANG – Datin Hazlina Jalil mencipta sejarah apabila dilantik sebagai Datuk Bandar wanita pertama Pasir Gudang sekali gus menjadikannya Datuk Bandar wanita pertama di Johor.
Beliau nekad meneruskan kecemerlangan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) termasuk mendapatkan sokongan daripada semua ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut selepas dilantik pada 17 Oktober lalu.
“Saya bersyukur dengan pelantikan ini dan akan meneruskan kecemerlangan MBPG sebagai PBT yang proaktif, berdaya saing dan berpaksikan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian JTDC Mega Kerjaya My Future Jobs X PIS X MBPG di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pasir Gudang, di sini, hari ini.
Program tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin.
Beliau menggantikan Datuk Mustaffa Kamal Shamsudin yang kini memulakan tugas baharu sebagai Pengarah Urusan Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI).
Hazlina berpengalaman lebih 25 tahun dalam Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor (JCS), pernah memegang pelbagai jawatan utama termasuk Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pengerang, Pegawai Daerah Kota Tinggi dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora).
Beliau berkata, fokus utama MBPG adalah memperkukuh prasarana sokongan, kemudahan logistik, pelaburan hijau serta pembangunan bandar pintar dan rendah karbon bagi menyokong aktiviti perdagangan dan pelaburan berimpak tinggi terutama di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ)
Katanya, pelaksanaan JS-SEZ bukan hanya tertumpu kepada aspek ekonomi semata-mata, tetapi memberi impak sosial dan alam sekitar yang signifikan.
“MBPG komited mengekalkan keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan kelestarian, selaras dengan prinsip Pasir Gudang Perkasa 2030 yang menekankan tiga teras utama, Bersih, Lestari dan Berdaya Huni,” katanya.
Beliau juga berhasrat memperkukuh kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, institusi pengajian tinggi dan masyarakat tempatan untuk memperluas peluang pekerjaan serta inovasi teknologi hijau di bawah JS-SEZ, bagi menjadikan daerah ini sebagai model bandar raya industri yang progresif dan lestari di rantau ini.
Mengenai permintaan penduduk di sini mengutarakan masalah dalam media sosial selepas pelantikannya, beliau berkata, pihaknya akan meneliti perkara-perkara yang dibangkitkan.
Sekiranya memerlukan peruntukan katanya, akan disalurkan bagi menambah baik prasarana dan infrastruktur terbabit. – MalaysiaGazette
















