Oplus_131072

JOHOR BAHRU – Peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di negeri ini akan dipertingkatkan terutama di sekolah-sekolah yang dikenal pasti sebagai hotspot berlaku kes-kes jenayah.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, menerusi aktiviti PPS nanti pihak polis akan melakukan lawatan seminggu sekali bagi melihat keadaan dan perkembangan di sekolah terbabit.

“Menerusi lawatan ini pihak polis akan melakukan lawatan dan melihat keadaan sebenar di sekolah untuk mengelakkan berlaku perkara ini (kes-kes jenayah).

“Kita mahu pelajar sedar tentang apa yang berlaku (jenayah yang berlaku),” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian JTDC Mega Kerjaya My Future Jobs X PIS X MBPG di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pasir Gudang, dekat sini, hari ini.

Turut hadir Datuk Bandar Pasir Gudang, Datin Paduka Hazlina Jalil.

Kelmarin Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju untuk meneruskan langkah meletakkan kehadiran polis di kawasan sekolah bagi menjamin keselamatan pelajar.

Perdana Menteri berkata, langkah itu diambil selepas melihat masalah seperti buli, penderaan dan jenayah di sekolah yang semakin berleluasa.

“Bagaimanapun, kita akan memberikan panduan supaya polis memantau dan tidak menimbulkan keresahan kepada anak-anak.

“Kerajaan juga bersetuju untuk menubuhkan Majlis Pendidikan Negara bagi memperbaiki kelemahan dalam sistem pendidikan negara dan menyelaras pandangan semua pihak berkepentingan,” ujar Anwar pada sesi di Dewan Rakyat.

Mengenai sebuah sekolah di Pekan Nanas, Pontian yang menhidangkan arak dalam program di sekolah, Aznan berkata, pihaknya menyerahkan perkara tersebut kepada pihak polis dan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk tindakan lanjut.

Jelas beliau, pada masa sama sama pihaknya masih mengumpul maklumat berkaitan kejadian tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast