LANGKAWI – Seorang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan serta kenyataan yang dikeluarkan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selepas digantung keahlian daripada Bersatu.
Ketua Bahagian Bersatu Langkawi, Amar Pared Mahamud mendakwa, kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Machang itu termasuk menerusi satu podcast baru-baru ini menunjukkan niat peribadinya dan sikap oportunis politik yang mengutamakan kepentingan diri berbanding parti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah itu menambah, sebagai antara ahli terawal Bersatu dan Armada, beliau amat mengenali perjalanan serta perjuangan asal parti tersebut.
Katanya, tindakan dan kenyataan Wan Fayhsal menyerlahkan agenda peribadi beliau yang tidak selari dengan prinsip perjuangan Bersatu.
“Hipokrasi dan kepura-puraan tidak akan mampu disembunyikan selama-lamanya. Tiada individu yang lebih besar daripada parti. Kekuatan Bersatu terletak pada perpaduan seluruh ahli di bawah satu kepimpinan yang sah dan berwibawa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Amar Pared turut menekankan sejarah politik Wan Ahmad Fayhsal yang menyaksikan beliau meninggalkan Syed Saddiq ketika Langkah Sheraton, walaupun ketika itu beliau adalah pegawai di Kementerian Belia dan Sukan.
Selepas itu katanya, Wan Ahmad Fayhsal dilantik sebagai senator dan timbalan menteri oleh Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin walaupun ketika itu hanya ahli biasa Bersatu.
Beliau juga mendakwa, pada pilihan raya umum yang lalu Wan Ahmad Fayhsal cuba melobi beberapa kerusi Parlimen ‘selamat’ termasuk Bagan Serai, sebelum akhirnya memilih Machang. -MalaysiaGazette
















