Pelumba Honda Team Asia, Taiyo Furusato (tengah) menjuarai perlumbaan Moto3 pada Kejuaraan MotoGP (Grand Prix) Malaysia 2025 di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 26 OKTOBER 2025.

SEPANG – Pelumba Honda Team Asia Taiyo Furusato meraih kemenangan pertamanya dalam kelas Moto3 pada perlumbaan motosikal Grand Prix (GP) Malaysia 2025 di Litar Antarabangsa Sepang di sini hari ini.

Pelumba dari Jepun yang bermula dari grid kedua itu berjaya memintas pelumba Leopard Racing David Almansa dan mengekalkan kedudukannya hingga garisan penamat.

Pelumba Honda Team Asia, Taiyo Furusato (tengah) menjuarai perlumbaan Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Malaysia 2025. Tempat kedua dimenangi oleh Pelumba FRINSA – MT Helmets – MSI, Angel Piqueras (kiri) dan ketiga Pelumba Leopard Racing, Adrian Fernandez di Petronas Litar Antarabangsa Sepang. Foto AIZAT ZAINAL, 26 OKTOBER 2025.

Furusato yang membuat penampilan pertama dalam kelas Moto3 pada 2022, tiba di garisan penamat dengan 22 minit 03.888 saat (s), di hadapan Angel Piqueras dari FRINSA-MT Helmets-MSI ((+2.259s) manakala Adrian Fernandez dari Leopard Racing ketiga (+2.625s).

Bagaimanapun, bagi pelumba muda negara Muhammad Hakim Danish Ramli yang membuat penampilan pertamanya dalam kelas Moto3 atas tiket khas tidak berjaya menamatkan perlumbaan selepas mengalami masalah teknikal ketika pusingan kelima.

Hakim Danish yang bermula di grid ke-12 menduduki tempat ke-11 sebelum masalah teknikal itu berlaku.

Terdahulu, perlumbaan terpaksa ditangguhkan selama hampir dua jam susulan kemalangan melibatkan juara dunia baharu Jose Antonio Rueda dan Noah Dettwiler.

Insiden berkenaan berlaku ketika pusingan pemanasan jentera pada 11.45 pagi, apabila Rueda dari Red Bull KTM Ajo melanggar bahagian belakang Dettwiler dari CIP Green Power, sejurus selepas selekoh ketiga, beberapa saat sebelum perlumbaan utama dijadualkan bermula pada tengah hari.

Perlanggaran itu menyebabkan pegawai perlumbaan mengibarkan bendera merah.

Pusingan pemanasan ini ialah pusingan yang dilalui dari lorong pit ke petak permulaan bagi mengambil kedudukan masing-masing kira-kria 20 minit sebelum perlumbaan bermula.

Menurut pengarah perubatan perlumbaan, kedua-dua pelumba iaitu Rueda dan Dettwiler berada dalam keadaan sedar selepas kemalangan itu dan telah diterbangkan ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.

Akibat insiden tersebut, jarak keseluruhan perlumbaan dipendekkan kepada 10 pusingan berbanding 15 pusingan asal.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast