Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menuju ke tempat penginapan selepas hadir pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 26 OKTOBER

KUALA LUMPUR – Kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 di sini hari mencuri tumpuan ramai apabila beliau menaiki kenderaan rasmi yang dikenali The Beast.

Didakwa sebagai kereta jenis limosin yang memiliki sistem keselamatan yang dikatakan terbaik di dunia, ia dibuktikan sendiri apabila model Cadillac itu berperanan sebagai ‘pengawal keselamatan’ terbaik sepanjang perjalanan atas darat.

Dikeluarkan oleh General Motors, luaran kereta itu disaluti perisai militari setebal sekurang-kurangnya lima inci terdiri daripada campuran besi, aluminium, titanium dan seramik yang mampu menghalang bom dan peluru.

Menerusi laporan portal permotoran Pandu Laju, bahagian pintu The Beast pula menggunakan kepingan perisai setebal lapan inci dan seberat pintu Boieng 757.

Apabila pintu ditutup, ruang kabin terlindung 100 peratus daripada ancaman luar di mana pintu itu mampu menahan serangan kimia dan mengalirkan arus elektrik untuk menghalang penceroboh.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump hadir pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 OKTOBER 2025.

Tingkap kereta dibuat daripada lima lapisan cermin dan polikarbonat yang mampu menahan serangan peluru penembus perisai.

Tingkap juga tidak boleh dibuka kecuali sebelah pintu pemandu dan boleh dibuka tiga inci sahaja.

Bahagian casis diperkuat dengan lapisan kepingan besi supaya dapat bertahan daripada letupan bom dan tayar pula menggunakan lapisan besi supaya tidak terkoyak atau pancit.

Lapisan rim besi dalam tayar membolehkan kereta dipandu walaupun tayar hancur sementara ruang kabin The Beast mempunyai empat ruang yang dipisahkan lapisan cermin perisai.

Cermin pintu hanya boleh diturunkan Presiden AS dan bagi penumpang, mereka hanya boleh duduk senyap di dalam ruangnya.

Ruang yang sama juga ada butang keselamatan panik dan ruang simpanan udara oksigen.

Jika berlaku kecemasan, ada telefon satelit di belakang kerusi Presiden AS yang disambungkan terus kepada Naib Presiden AS dan pejabat Pentagon.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berangkat pulang selepas hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 OKTOBER 2025.

Tangki minyak direka dengan lapisan perisai besi dan mengandungi bahan salutan minyak untuk menghalang letupan sekiranya berlaku kemalangan dan terbakar.

Ruang but pula dilengkapi alat pemadam api, gas pemedih mata dan penghalang asap.

Pada masa sama, kereta itu turut dilengkapi senjata keselamatan seperti senapang patah dan pelancar pemedih mata. Ada juga bekalan darah yang sama jenis dengan Presiden AS sebagai persediaan sekiranya memerlukan pemindahan darah.

Ruang pemandunya mempunyai sistem komunikasi lengkap dan sistem navigasi Sistem Pengesanan Global (GPS) manakala bahagian depan ada sensor kamera dan radar yang terselindung bawah grill untuk memastikan keselamatan bahagian depan kereta.

Pemandu pula terdiri daripada pegawai keselamatan terlatih dan mampu memandu dalam situasi kecemasan seperti mengelak serangan, melakukan putaran 180º atau membuat pusingan J.

Minyak juga boleh disembur keluar untuk mengelak dikejar kenderaan musuh sekali gus menjadikan ia kereta paling selamat di dunia.

Presiden AS dikatakan memiliki 12 buah The Beast secara keseluruhannya dengan harga setiap satu bernilai RM6.44 juta.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menuju ke tempat penginapan selepas hadir pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 26 OKTOBER

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi pengalaman menarik bersama Trump apabila pemimpin kuasa besar dunia itu menjemputnya menaiki kenderaan rasmi Presiden AS.

Menurutnya, Trump bertindak di luar kebiasaan apabila melanggar protokol keselamatan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kerana secara spontan mengajaknya menaiki kenderaan tersebut bersama.

Trump tiba di Malaysia dengan menaiki pesawat Air Force One yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 9.50 pagi ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast