Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Sistem Saringan Awal Penumpang (APSS) akan dilaksanakan pada Disember ini bagi memperkukuh kawalan imigresen serta menghalang kemasukan pelawat asing berisiko tinggi ke negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, sistem itu membolehkan pihak berkuasa menjalankan saringan awal serta penilaian risiko terhadap pelawat asing sebelum mereka tiba di Malaysia.

“Melalui sistem ini, kita dapat memastikan hanya individu yang tidak menimbulkan sebarang risiko keselamatan dibenarkan masuk ke negara ini,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab peratnyaan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) yang sebelum itu meminta penjelasan mengenai langkah memperketat kawalan sempadan dan mengelak penyalahgunaan visa jangka panjang.

Menurut Shamsul Anuar, pelaksanaan APSS dijangka dapat memperkukuh penguatkuasaan melalui pengesanan awal pelawat berisiko tinggi serta mengurangkan penyalahgunaan pas lawatan sosial dan kemudahan visa jangka panjang.

Menjawab soalan tambahan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) mengenai pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pemegang visa jangka panjang serta peserta program Malaysia My Second Home (MM2H), Shamsul Anuar menjelaskan, pelaksanaan MM2H dikendalikan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) melalui sistem keselamatan berpusat.

“Sistem berkenaan mengintegrasikan data daripada pelbagai agensi, manakala semua maklumat pemohon direkodkan dalam pangkalan data Motac yang disambungkan dengan sistem MyIMMS Jabatan Imigresen bagi memastikan integriti data serta pematuhan kepada keperluan keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata, hanya ejen berdaftar dengan Motac dibenarkan mengurus permohonan MM2H, manakala setiap pemohon wajib menjalani semakan latar belakang oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum kelulusan diberikan.

Peserta program turut diwajibkan mendapatkan kelulusan Motac sebelum membuat sebarang deposit tetap atau pembelian hartanah di bawah MM2H.

“Langkah kawalan ketat ini penting bagi memastikan MM2H dilaksanakan secara bertanggungjawab tanpa menjejaskan keselamatan negara walaupun ia memberi sumbangan positif kepada ekonomi,” katanya.

Shamsul Anuar turut memaklumkan bahawa Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Imigresen melaksanakan saringan awal terhadap semua pelawat asing menerusi sistem MyVisa dan Malaysia Digital Arrival Card (MDAC).

Di bawah MyVisa, semakan keselamatan dan penilaian risiko dibuat sebelum visa diluluskan oleh perwakilan Malaysia di luar negara. Sementara itu, MDAC perlu diisi sekurang-kurangnya tiga hari sebelum ketibaan bagi membolehkan Jabatan Imigresen menilai tujuan kemasukan pelawat.

“Semua pelancong akan menjalani pemeriksaan imigresen di pintu masuk, termasuk di kaunter autogate dan manual, bagi mengesahkan dokumen, tempat penginapan dan kemampuan kewangan mereka,” jelasnya.

Beliau menambah, semua permohonan pas jangka panjang, termasuk MM2H, perlu melalui saringan keselamatan polis dan antara agensi bagi mengesan rekod jenayah, kaitan ekstremis atau elemen jenayah terancang.

“Pemohon juga perlu mengemukakan Surat Akuan Kelakuan Baik daripada pihak berkuasa penguat kuasa negara asal sebagai bukti berkelakuan baik serta bebas daripada rekod jenayah,” katanya.

Jelas beliau, pas jangka panjang hanya sah maksimum selama lima tahun dan bukan sepanjang hayat. Permohonan pembaharuan akan dinilai semula, dan boleh ditolak sekiranya terdapat risiko keselamatan atau rekod negatif.

“Ketua Pengarah Imigresen turut mempunyai kuasa penuh untuk membatalkan sebarang pas jangka panjang termasuk MM2H sekiranya pemegangnya melanggar syarat atau terlibat dalam aktiviti yang mengancam keselamatan negara,” katanya.

Shamsul Anuar memberitahu, walaupun skim visa jangka panjang memberi manfaat ekonomi, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap aspek keselamatan negara dan ketenteraman awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast