Perdana Menteri , Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 OKTOBER 2025.

KUALA LUMPUR – Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hari kedua dijangka memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama ekonomi serantau, transformasi digital, peralihan tenaga bersih dan ketahanan rantaian bekalan.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, kesemua lima sidang hari ini bukan sekadar pusat pertumbuhan, bahkan menjadi pemacu kestabilan dan keseimbangan strategik di rantau Indo-Pasifik.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mempengerusikan lima sidang utama dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hari ini.

“Ini termasuk Sidang Kemuncak ASEAN–Republik Korea ke-26, Sidang Kemuncak ASEAN Plus Three ke-28, Sidang Kemuncak Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) ke-5, Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-15.

“ASEAN bukan sekadar pusat pertumbuhan, tetapi juga pemacu kestabilan dan keseimbangan strategik di rantau Indo-Pasifik,” katanya ketika menyampaikan Taklimat Pejabat Perdana Menteri sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 secara dalam talian, hari ini.

Selain itu, kata Tunku Nashrul, Perdana Menteri juga dijangka mengadakan beberapa pertemuan dengan rakan pimpinan lain.

“Perdana Menteri juga akan mengakhiri hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dengan penganjuran Majlis Makan Malam Gala ASEAN bersama para pemimpin ASEAN dan rakan-rakan dialog.

Tunku Nashrul juga memberitahu, Malaysia akan terus menggalas amanah kepimpinan serantau dengan tekad dan keyakinan, memperkukuh perpaduan ASEAN serta memacu kerjasama.

“Diharapkan usaha Malaysia ini akan membawa manfaat kepada seluruh rantau.

“Semoga perjalanan kesemua sidang pada hari ini berjalan lancar dan membuahkan hasil yang penuh makna, Insya-Allah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast