KUALA LUMPUR – Negara memerlukan sekurang-kurangnya 5,000 akauntan bertauliah dalam kalangan Bumiputera bagi mengatasi kekurangan tenaga dalam profesion berkenaan menjelang 2030.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, iai kerana jumlah akauntan Bumiputera sedia ada amat membimbangkan.

” Akauntan bertauliah yang mempunyai sijil profesional ada sekitar 25,000 orang dan sekitar 3,000 orang sahaja Bumiputera” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas mewakili Majlis Amanah Rakyat (MARA) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC) di sini hari ini.
MoU yang sama juga bertujuan memperkukuh pembangunan profesion akauntan Bumiputera di peringkat global.
MoU berkenaan menetapkan tiga objektif utama iaitu melahirkan akauntan Bumiputera bertauliah secara sistematik dari peringkat pendidikan hingga ke penempatan kerja, menyediakan laluan pendidikan profesional yang inklusif dan bersepadu serta memperkukuh jaringan industri dan pendedahan global pelajar Bumiputera.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, MARA dan MyPAC memperkenalkan Program Tajaan Pendidikan Hibrid MARA (MESH-MyPAC) yang memberi tumpuan kepada pembangunan akauntan Bumiputera berkelayakan di dalam dan luar negara melalui ekosistem sokongan menyeluruh merangkumi pendidikan, latihan profesional dan peluang kerjaya.
Melalui program tersebut, pelajar terpilih akan menerima tajaan penuh merangkumi yuran pengajian, elaun sara hidup, yuran peperiksaan serta penempatan kerja bersama firma perakaunan terkemuka.
Pada 2025, lima pelajar akan menyertai program itu manakala 30 lagi dijangka pada 2026 bersama rakan strategik MyPAC.
Pengerusi MARA itu berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen MARA dalam melahirkan tenaga profesional Bumiputera yang memiliki integriti, ketelitian analitik dan mobiliti global, sejajar dengan keperluan pasaran antarabangsa.
Sejak 2021, kerjasama MARA dan ACCA telah melahirkan lebih 1,400 graduan ACCA serta ratusan pelajar aktif daripada komuniti luar bandar dan isi rumah B40 yang kini berada di landasan pengiktirafan profesional antarabangsa. – MalaysiaGazette
















