Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus (kanan) menyaksikan serah terima tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur daripada Datuk Mohamed Usuf Jan (kiri) kepada Datuk Mohd Azani Omar (tengah) pada majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas jawatan Timbalan Ketua Polis dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi di IPK Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 27 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR –  Bekas Juruiring Yang di-Pertuan Agong, Datuk Mohd Azani Omar dilantik menjadi Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur berkuat kuasa hari ini.

Lantikan Mohd Azani, 51, berasal dari Kelantan bagi menggantikan Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad yang bersara wajib 28 Oktober ini selepas 37 tahun menabur bakti dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Majlis serah terima tugas itu disaksikan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur .

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus (tengah) menyaksikan serah terima tugas jawatan Ketua Polis Daerah Dang Wangi daripada Sulizmie Affendy (kiri) kepada ACP Sazalee Adam (kanan) pada majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas jawatan Timbalan Ketua Polis dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi di IPK Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 27 OKTOBER 2025.

Turut berlangsung majlis serah jawatan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Senior Asisten Komisioner  (SAC) Sulizmie Affendy Sulaiman yang akan digantikan Asisten Komisioner Sazalee Azam.

Sulizmie Affendy akan memulakan tugasnya sebagai Juruiring kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menggantikan jawatan Mohd Azani sebelum ini.

Selain itu, berlansung majlis serah tugas Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) IPK Kuala Lumpur kepada Asisten Komisioner Wong Yuen Chuan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berucap pada majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas jawatan Timbalan Ketua Polis dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi di IPK Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 27 OKTOBER 2025.

Dalam pada itu, Fadil ketika berucap menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Mohamed Usuf serta isteri atas segala sumbangan, dedikasi dan kesetiaan yang dicurahkan sepanjann tempoh perkhidmatan bersama.

Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Mohd Azani atas pelantikan berkenaan yang disifatkannya sebagai satu pengiktirafan terhadap kecekapan dan komitmen dalam menerajui pasukan keselamatan.

“Tahniah kepada Mohd Azani atas pelantikan begitu juga kepada Sulizmie Affendy dan Wong Yuen Chuan atas kenaikan pangkat masing-masing,” katanya di sini hari ini.

Ujarnya lagi, beliau juga yakin pelantikan itu akan memperkukuhkan kecekapan organisasi serta menambah baik mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Timbalan Ketua Polis, Datuk Mohd Azani Omar. Foto MUHAIMIN MARWAN, 27 OKTOBER 2025

Sementara itu, Mohd Azani ketika ditemui bersyukur atas pelantikannya dan akan berkongsi pengalamannya sebagai Unit Tindakan Khas (UTK) sebelum ini dalam pasukan polis Kuala Lumpur.

“Saya mula berkhidmat sejak 1998 kemudian dimasukkan ke dalam Pasukan Gerakan Am (PGA) sebagai Platun Komander pada 2001 sebelum lapor diri ke UTK sehingga 2015 dan seterusnya ke Istana Negara.

“Insya-Allah saya akan berkongsi semua pengetahuan dan pengalaman luas ini ke dalam pentadbiraan serta operasi pasukan Kuala Lumpur. 

“Saya juga beruntung dapat bertugas bawah kepimpinan Datuk Fadil kerana beliau banyak pengalaman yang kita sedia maklum Kuala Lumpur adalah kawasan panas (jenayah),” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast