JOHOR BAHRU – Seorang pesara kerajaan menyesal tidak sudah selepas RM3.07 juta hangus terpedaya dengan pelaburan saham dalam talian yang tidak wujud.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berusia 62 tahun mendapat tahu iklan pelaburan tersebut dalam media sosial.
“Tertarik dengan iklan tersebut yang menjanjikan keuntungan segera dan mudah, mangsa menekan pautan yang tertera dan berhubung dengan suspek.
“Kemudian mangsa diminta untuk memuat naik aplikasi menerusi telefon bimbit kononnya bagi membolehkan mangsa memantau pelaburan yang dilakukannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ab Rahaman berkata, mangsa percaya dengan keuntungan segera yang dijanjikan dan membuat pembayaran menerusi 29 transaksi antara 19 Ogos hingga 15 Oktober lalu ke dalam enam akaun berbeza berjumlah RM3,070,443 atas arahan suspek.
Mangsa katanya, mengesyaki telah diperdaya apabila gagal membuat pengeluaran wang pelaburan melalui aplikasi yang diberikan dan suspek kemudian gagal dihubungi.
Akibatnya ujar Ab Rahaman, mangsa telah mengalami kerugian berjumlah RM3,070,443 sebelum membuat laporan polis pada Jumaat lalu.
Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara satu hingga 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.
Pihaknya menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada serta tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan mudah dan segera terutama apabila diiklankan dalam media sosial. – MalaysiaGazette















