Oleh: Muhamad Safwan Mohd A’Seri &
Dr. Muhammad Afifi Abdul Hamid
PERSATUAN Negara-negara Asia Tenggara atau The Association of Southeast Asian Nations (ASEAN) merupakan pertubuhan serantau ketiga yang ditubuhkan di Asia Tenggara selepas Association of Southeast Asia (ASA) dan MAPHILINDO. Pertubuhan ini ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 di Bangkok, Thailand dengan matlamat mempromosikan keamanan, kestabilan dan kesejahteraan serantau melalui semangat saling menghormati, keadilan dan pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa, selaras dengan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB).
Pada 31 Disember 2015, ASEAN melangkah ke fasa baharu dengan terbentuknya Komuniti ASEAN, berteraskan tiga tonggak utama – Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) dan Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC).
Sidang Kemuncak ASEAN pula diadakan secara bergilir antara negara anggota, dan tahun 2025 amat signifikan kerana menandakan ulang tahun ke-58 penubuhan ASEAN serta ulang tahun ke-10 Komuniti ASEAN. Tahun ini juga menyaksikan Malaysia sekali lagi memegang tampuk Pengerusi ASEAN, satu amanah besar yang membawa makna mendalam di pentas diplomasi serantau.
Menariknya, ASEAN kini mengadakan dua Sidang Kemuncak setiap tahun pada Mei dan Oktober mencerminkan keaktifan hubungan diplomatik rantau ini. Selain pertemuan utama 11 pemimpin negara anggota ASEAN termasuk Timor-Leste sebagai anggota baharu, turut berlangsung rundingan bersama rakan luar seperti ASEAN+3 (China, Jepun, Korea Selatan) dan ASEAN+6 (India, Australia, New Zealand).
Rangkaian ini diperluas lagi melalui ASEAN+GCC melibatkan negara-negara Teluk seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Bahrain, Kuwait dan Oman, serta sesi khas bersama Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Rusia. Maka, ASEAN kini bukan sekadar blok ekonomi, tetapi medan diplomasi global yang paling rancak dan berpengaruh. Bulan Oktober 2025 menjadi detik bersejarah apabila Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, diiringi mesyuarat ASEAN+3, ASEAN+6 dan rundingan khas bersama Amerika Syarikat.
Lebih menarik, Brazil dan Afrika Selatan turut dijemput, memberi bayangan kepada potensi format baharu “ASEAN+BRICS”, simbol keterbukaan ASEAN terhadap kuasa ekonomi baharu dunia serta peluang memperluas akses pasaran dalam bidang teknologi hijau, bioteknologi, kecerdasan buatan (AI), sekuriti makanan dan tenaga. Kehadiran Perdana Menteri Jepun yang baharu, Sanae Takaichi, wanita pertama yang memegang jawatan tertinggi negara matahari terbit itu, turut memperlihatkan komitmen Tokyo terhadap semangat “kepusatan ASEAN” (ASEAN centrality) dan pengiktirafan terhadap kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.
Bagi penulis, tanggal 26 hingga 28 Oktober 2025 menjadi penentu legasi Malaysia dalam kitaran 11 tahun sebagai pengerusi. Pada sidang kali ini, pengumuman rasmi kemasukan Timor-Leste sebagai anggota penuh ASEAN pada 26 Oktober juga menutup penantian panjang sejak permohonan pada tahun 2011.
Keputusan ini menegaskan ASEAN kekal sebagai organisasi yang terbuka, inklusif dan berpandangan jauh, satu lambang kematangan politik serantau yang diasaskan atas prinsip konsensus dan perpaduan. Sepanjang sejarahnya, setiap kali Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN, negara ini sering dipandang tinggi, bukan sahaja kerana keupayaan penganjurannya yang tersusun, tetapi juga keupayaan mencetuskan idea besar yang membentuk landskap ASEAN moden.
Malaysia telah memperkenalkan inisiatif penting seperti ASEAN+3 pada 1997, ASEAN+6 pada 2005 dan pembentukan Komuniti ASEAN pada 2015, tiga pencapaian yang kekal menjadi tonggak utama rantau ini hingga kini. Namun begitu, lanskap geopolitik kini lebih kompleks. ASEAN tidak dapat mengelak daripada tempias perubahan dasar ekonomi kuasa besar dunia khususnya Amerika Syarikat. Ketika pentadbiran Presiden Donald Trump dahulu memperkenalkan dasar tarif perdagangan, rantaian bekalan ASEAN turut terjejas.
Bagi Malaysia, menyambut Trump dengan penuh kemeriahan bukanlah soal memuja kuasa besar tetapi strategi diplomasi yang matang. Sambutan yang mesra melambangkan keterbukaan Malaysia terhadap semua pihak sekali gus memperkukuh imej negara sebagai jambatan dialog di tengah-tengah percaturan kuasa dunia. Dalam konteks diplomasi moden, menyambut dengan tangan terbuka tidak bererti tunduk tetapi menunjukkan keyakinan dan kebijaksanaan dalam menguruskan perbezaan.
Malah, platform sidang kemuncak ini juga boleh digunakan Malaysia untuk menzahirkan pendirian tegas terhadap isu Palestin bukan dengan nada konfrontasi, tetapi dengan pendekatan diplomasi berprinsip. Di hadapan kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Malaysia boleh menegaskan sokongan terhadap Palestin bukanlah penentangan terhadap mana-mana negara, tetapi satu komitmen terhadap kemanusiaan sejagat dan keadilan antarabangsa. Pendekatan sebegini bukan sahaja mengekalkan keharmonian meja rundingan, tetapi juga menyerlahkan Malaysia sebagai suara moral dunia Islam dalam kerangka diplomasi berhemah.
Dalam suasana dunia yang sarat dengan persaingan geopolitik antara Amerika Syarikat, China dan Rusia, Malaysia perlu terus mengamalkan dasar berkecuali yang aktif, menjadi jambatan bukan medan perebutan. Kuala Lumpur mesti memastikan ASEAN kekal
relevan dan dihormati sebagai rakan setara, bukan sekadar pemerhati dalam percaturan global.
Akhirnya, sambil rakyat berhak menyuarakan pandangan dan perbezaan pendirian, kita juga wajar memahami seni halus diplomasi – seperti pepatah Melayu, “ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.” Di meja sidang inilah, setiap senyuman, setiap pertemuan dan setiap kata dasar boleh membawa kesan besar bukan sahaja kepada Malaysia, tetapi kepada seluruh rantau Asia Tenggara dan dunia.
Muhammad Afifi adalah pensyarah dari CCE, Sunway College dalam bidang Hubungan Antarabangsa Islam.
















