MUAR – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Maharani, Dr Mohammad Taslim, 75, meninggal dunia di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini pukul 4.13 petang tadi.

Pas Johor dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya dimaklumkan punca kematian adalah disebabkan salur dalam pembuluh darah pecah dan jenazah akan dibawa ke rumahnya di Taman Bunga Raya pukul 7.30 malam ini untuk dimandi dan dikafankan.

“Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Nurul Iman, Parit Bakar Laut pukul 8.30 malam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Bakar Tengah, dijadual pukul 9 malam ini,” menurut kenyataan tersebut.

‎Pas Johor menyifatkan pemergian arwah sebagai satu kehilangan besar kepada parti khususnya masyarakat di daerah itu yang amat mengenang jasa dan keikhlasannya semasa menjadi wakil rakyat.

“Beliau berkhidmat tanpa mengira penat lelah. Pemergian beliau tiga hari selepas Pas Johor baru sahaja kehilangan tokoh anak muda yang tinggi akhlaknya iaitu Almarhum Ustaz Muhammad Ariff Haron (Naib Ketua Pemuda Pas Johor).

“Hari ini, Allah menjemput pula almarhum Dr Mohammad Taslim antara tokoh istiqomah Pas Johor. Sungguhnya perancangan Allah itu sangat sempurna. Tiada lambat atau cepat walaupun sesaat,” katanya.

Dr Mohammad menjadi ADUN Maharani selama dua penggal berturut-turut sejak 2008. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast