KUANTAN – Seorang kanak-kanak yang terbabit kemalangan berhampiran surau di Perumahan Rakyat Pak Mahat, di sini, semalam menghembuskan nafas terakhir di Wad Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, awal pagi tadi.
Mangsa, Muhammad Zulfan Adwa Mohd Zulkifli, 4, disahkan meninggal dunia pada jam 2.24 pagi tadi setelah bertarung nyawa selama kira-kira lapan jam di wad berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, mangsa sebelum itu dimasukkan ke HTAA susulan basikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di lokasi berkenaan pada jam 6.30 petang semalam.
“Siasatan awal mendapati, MPV jenis Perodua Alza itu datang dari arah Kawasan Perumahan Pak Mahat menuju ke arah Jalan Tanjung Lumpur.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, semasa MPV Alza membelok ke kiri, secara tiba-tiba tanpa disedari tekah melanggar mangsa yang mengayuh basikal di tengah jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat kecederaan otak dan pendarahan dalaman akibat kemalangan yang disahkan oleh Pegawai Kesihatan HTAA.
Ashari berkata, kes itu masih disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette
















