KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mempertahankan keputusan Malaysia menjemput Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dengan menegaskan langkah itu mencerminkan dasar luar Malaysia yang sederhana, terbuka dan berprinsip.
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia tidak boleh terperangkap dalam pandangan sempit atau prejudis terhadap mana-mana pemimpin dunia kerana hubungan antarabangsa perlu diurus dengan bijaksana berpaksikan kepentingan negara.
“Ada yang tanya, kenapa jemput Donald Trump? Patut jangan jemput, katanya dia dilaknat Allah. Ada pula kata, siapa yang sokong dia pun sama.
“Inilah negara kita, cepat menghukum tanpa tahu fakta. Ada yang kritik gambar saya beramah dengan isteri Perdana Menteri Marcos kononnya berpegangan tangan, cium. Padahal tidak pun. Jangan terus hukum tanpa tahu hal sebenar,” tegasnya kepada media selepas Majlis Penutupan Sidang Kemuncak Asean ke-47 di sini petang ini.
Beliau mengulas kecaman segelintir pihak terhadap penglibatan Malaysia dalam penganjuran sidang tersebut yang turut menghimpunkan pemimpin-pemimpin besar dunia termasuk China, Brazil dan Afrika Selatan.
Anwar menegaskan, dasar centrality yang dipegang Malaysia membolehkan negara berkawan dengan semua pihak termasuk kuasa besar yang berbeza pandangan politik dan ekonomi.
“Malaysia mempertahankan sikap sederhana. Centrality bermakna kita boleh berhubung dan berkawan dengan semua.
“Ada yang bertanya, mengapa rapat dengan China? Ya, tapi kita juga menjemput dan berbaik dengan AS. Begitu juga dengan Brazil dan Afrika Selatan walaupun tidak disenangi sesetengah pihak.
“Hubungan dengan Eropah juga penting kerana perdagangan dan pelaburan mereka besar,” jelasnya.
Beliau menambah, dalam perbincangan dengan negara-negara besar, Malaysia tetap menjaga kepentingan sendiri termasuk isu strategik seperti sumber nadir bumi, cip semikonduktor dan keselamatan maritim.
“Mereka mahu bincang soal rare earth, semiconductor chips dan maritim. Kita bersetuju untuk berunding tapi itu tidak menghalang kita daripada menjalin hubungan baik dengan China atau negara lain. Kita berunding bukan menyerah,” tegasnya.
Anwar berkata, Malaysia kini menjadi tumpuan dunia kerana berjaya mengimbangi hubungan diplomatik antara kuasa besar secara matang dan berhemah.
“Hari ini, kita tandatangan perjanjian dengan Trump, esoknya dengan Li Qiang kemudian bersama Brazil dan Afrika Selatan dua negara yang berbeza pendirian dengan AS. Dunia perhati bagaimana Malaysia mengurus semua ini dengan tenang dan berprinsip,” katanya. – MalaysiaGazette
















