Tangkap layar video yang tular memaparkan sekumpulan lelaki bergaduh di sebuah kedai makan di pekan Rengit, Batu Pahat, semalam

BATU PAHAT – Tular video sekumpulan lelaki bergaduh dengan saling memukul selain menggunakan kerusi dan meja plastik dalam sebuah kedai makan di pekan Rengit dekat sini semalam.

Rakaman video berdurasi 1 minit 40 saat itu memaparkan sekumpulan pemuda datang ke kedai makan berkenaan sebelum melakukan provokasi namun berjaya ditenangkan pelanggan yang hadir.

Bagaimanapun tidak berapa lama selepas itu tercetus satu lagi pergaduhan dalam kedai tersebut hingga mengakibatkan ada kerusi dan meja terbalik.

Seorang lelaki dipercayai pemilik kedai makan berkenaan menjerit meminta mereka tidak bergaduh dalam kedai mamun tidak diendahkan kumpulan lelaki tersebut hingga menyebabkan beberapa buah meja dan kerusi plastik rosak.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian tersebut sebelum anggotanya bergegas ke tempat kejadian.

“Secara kebetulan pasukan Ronda Cegah Jenayah dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat sedang berada di Balai Polis Rengit pada waktu kejadian yang membolehkan tangkapan terus dilakukan.

“Polis menahan sembilan lelaki atas kesalahan bergaduh. Mereka yang berusia 18 hingga 35 tahun itu ditangkap atas kesalahan merusuh di tempat awam sejurus selepas kejadian pukul 2 pagi semalam,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 148 kerana merusuh dan suspek yang semuanya merupakan warga tempatan direman empat hari bermula semalam hingga 30 Oktober ini.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast