SEGAMAT – Seorang warga emas maut terperosok bawah treler selepas motosikal ditunggangnya gagal membuat U di Kilometer 136.5 Jalan Johor Bahru-Seremban di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Zamry Marinsah berkata, kejadian tersebut berlaku pukul 9.30 pagi melibatkan motosikal ditunggang mangsa tempatan berusia 60-an dengan treler dipandu lelaki tempatan berusia 50-an.
“Siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal terbabit datang dari Chaah ke arah Yong Peng telah membuat pusingan U dan dilanggar treler dari arah yang sama.
“Akibatnya penunggang terbabit meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Siasatan lanjut tambahnya, masih dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu boleh menghubungi Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat 07-9325811.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis, Pegawai Bomba Yusri Yusof berkata, kemalangan berkenaan mengakibatkan mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 tersepit bawah treler.
“Pihak bomba mengeluarkan mangsa menggunakan scoop stretchers dan disahkan sudah meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Menurutnya, seramai enam anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) terlibat dalam operasi tersebut yang tamat pukul 11.39 pagi. – MalaysiaGazette
















