Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming (empat kiri) bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr.Maimunah Mohd Sharif (tengah) pada Majlis Pra-Pelancaran dan Sidang Media Projek ‘I LITE U’ di Dadi Cinema Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 29 OKTOBER 2025.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melancarkan projek pencahayaan bandar I Lite U @ Bukit Bintang bagi memperindah wajah ibu kota menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menurut DBKL, projek ini dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Bukit Bintang, Kuala Lumpur City Centre (BBKLCC) dan Pavilion Kuala Lumpur yang berkonsepkan inovasi dan kelestarian bagi menghidupkan suasana malam di kawasan Bukit Bintang.

Jelasnya, pelaksanaan inisiatif ini bermula 13 Oktober sehingga 15 Disember ini yang meliputi sepanjang satu kilometer di jalan Bukit Bintang dengan anggaran kos antara RM3 juta hingga RM4 juta.

“Pencahayaan projek ini menampilkan penggunaan pelbagai jenis lampu LED moden yang direka khas untuk menghasilkan kesan cahaya yang dinamik dan memukau di kawasan Bukit Bintang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, projek tersebut akan menampilkan struktur ikonik dengan paparan logo Malaysia Madani dan Visit Malaysia 2026, yang turut disertai dengan arca khas Visit Malaysia 2026 serta penaiktarafan lampu lintasan bagi mewujudkan suasana malam yang baik.

Selain itu, lampu LED moden seperti LED icicle dan LED linear digunakan bagi menghasilkan kesan cahaya yang dinamik dan artistik yang memperindah kawasan tarikan Bukit BIntang dengan cahaya dan identiti tempatan.

DBKL berkata, pelaksanaan projek itu mampu mengubah wajah malam Kuala Lumpur dengan suasana yang ceria dan selamat di samping merancakkan ekonomi pelancongan di ibu kota. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast