Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap seorang penganggur kerana melibas anak perempuannya berusia sembilan tahun dengan sebilah parang hingga menyebabkan kecederaan pada kaki kiri mangsa.

Hakim Mazuliana Abdul Rashid menjatuhkan hukuman itu terhadap K. Vejesh, 49, selepas tertuduh mengekalkan pengakuan bersalahnya.

Beliau memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap iaitu pada 22 Oktober lalu.

Vejesh didakwa dengan sengaja mencederakan anak kandungnya di sebuah unit pangsapuri di Setapak di sini pada jam 1.30 pagi, 22 Oktober lalu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama.

Seksyen 324 memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, manakala Seksyen 326A pula berdepan dengan hukuman penjara selama tempoh dua kali ganda tempoh maksimum, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, polis menerima laporan tertuduh telah melibas sebilah parang hingga terkena anaknya, sebelum mangsa dirujuk ke sebuah hospital.  Doktor mengesahkan terdapat kesan luka empat hingga lima sentimeter pada kaki kiri kanak-kanak itu.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd Radzuan memohon hukuman berbentuk pengajaran terhadap tertuduh dengan mengambil kira mangsa dalam kes itu adalah anak kandungnya, manakala Vejesh tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast