KUALA LUMPUR – “Ramai gelandangan yang kita jumpa, mereka sekarang memilih makanan sebab terlalu banyak yang memberi,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Zaliha Mustafa.
Beliau berkata, ia berpunca daripada pengagihan makanan oleh badan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang terlalu banyak dan tidak menepati masa yang telah ditetapkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Berikutan itu, menurutnya, ia mengakibatkan pembuangan makanan yang menjejaskan kebersihan di sekitar Kuala Lumpur.
“Makanan ini dibazirkan dan dibuang begitu sahaja,” katanya menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun (Pakatan Harapan) di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, Zaliha berkata, DBKL menetapkan tiga lokasi pengagihan iaitu Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit, Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku dan Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur Anjung Kembara.
Katanya, selain makanan, NGO atau pihak persendirian boleh mengagihkan barang keperluan harian di ketiga-tiga lokasi tersebut.
“Ketiga-tiga ini dilaksanakan dengan kerjasama NGO yang berdaftar dengan DBKL, sehingga kini ada lapan NGO berkeolaborasi dengan DBKL untuk agihan makanan,” katanya.
Dalam pada itu, Zaliha memaklumkan DBKL sedang meneliti pelaksanaan pendekatan infrastruktur bandar bagi mengurangkan aktiviti tidur di jalanan.
Ujarnya, ia melibatkan elemen fizikal dan reka bentuk infrastruktur yang dalam masa yang sama tidak menafikan akses kepada orang awam.
“Penelitian dilakukan (DBKL) mengenai pendekatan seperti place making dan reka bentuk infrastruktur bandar seperti yang diamalkan beberapa bandar utama seperti London, Tokyo dan Singapura yang menggunakan elemen fizikal bagi mengurangkan aktiviti tidur di jalanan tanpa menafikan akses kepada orang awam.
“Pendekatan ini melibatkan reka bentuk contohnya, bangku awam yang tidak selesa untuk digunakan baring, pencahayaan optimum serta susun atur landskap yang menggalakkan penggunaan sementara dan selamat,” katanya.
Beliau berkata, langkah berkenaan dilaksanakan secara berhemah supaya ruang bandar kekal mesra pengguna namun tidak menggalakkan aktiviti gelandangan yang berterusan.
Terdahulu, Zaliha berkata setakat ini terdapat dua pusat transit yang sedang beroperasi di KL iaitu Pusat Khidmat Gelandangan PKG Medan Tuanku dan Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur Anjung Kembara.
Katanya, seramai 4,886 orang gelandangan pernah mendapat manfaat daripada kedua-dua pusat tersebut.
“Secara keseluruhannya, pusat-pusat transit ini masih mampu menampung penghunian gelandangan di KL,” katanya.-MalaysiaGazette
















