Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki bercakap kepada wartawan selepas menghadiri Majlis Penutupan Mesyuarat Prinsipal ASEAN-PAC ke-21 di Sunway Resort, Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 29 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memulakan siasatan terhadap projek Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekiranya terdapat petunjuk berlakunya rasuah atau penyalahgunaan kuasa dalam pelaksanaannya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini, pihaknya belum membuka sebarang kertas siasatan berhubung projek bernilai ratusan juta ringgit itu.

“Buat masa ini, kami belum menerima sebarang aduan atau maklumat mengenai perkara tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menutup Mesyuarat Ketua-Ketua Parti ASEAN Menentang Rasuah (ASEAN-PAC) ke-21 di sini, hari ini.

Projek Aerotrain KLIA sebelum ini menjadi perhatian umum berikutan kerap mengalami gangguan perkhidmatan, sekali gus menimbulkan pelbagai persoalan mengenai pelaksanaan dan pengurusannya.

Menurut Azam, SPRM sentiasa memantau sebarang projek besar kerajaan dan akan bertindak sekiranya wujud bukti yang menunjukkan berlaku penyelewengan atau salah guna kuasa.

“Sekiranya ada maklumat atau aduan yang kukuh, kita tidak akan teragak-agak untuk membuka kertas siasatan,” katanya.

Semalam, Kementerian Pengangkutan (MOT) mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) membuka kertas siasatan terhadap Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berhubung beberapa insiden gangguan perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menterinya, Anthony Loke berkata, langkah itu diambil selepas MOT mendapati perkhidmatan Aerotrain masih mengalami gangguan walaupun sudah kembali beroperasi sejak beberapa bulan lalu.

Difahamkan, sejak kembali beroperasi pada 1 Julai lalu, Aerotrain beberapa kali mengalami gangguan, termasuk insiden terbaharu yang berlaku awal pagi semalam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast