Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki beramah mesra bersama delegasi dari negara ASEAN selepas menghadiri Majlis Penutupan Mesyuarat Prinsipal ASEAN-PAC ke-21 di Sunway Resort, Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 29 OKTOBER 2025

PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan terhadap kes pecah amanah melibatkan ahli perniagaan dalam buruan, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, telah pun selesai.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya kini menumpukan usaha memastikan pertuduhan terhadap Muhammad Adlan yang juga menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta peguamnya Mansoor Saat dapat dilaksanakan di dalam negara.

Bagaimanapun katanya, usaha membawa pulang kedua-dua suspek berdepan pelbagai cabaran termasuk faktor mengenal pasti aset mereka di luar negara.

“Sudah tentu sukar (membawa mereka pulang) dan sudah sekian lama kita mengesan mereka,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Principals ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC) Ke-2, di sini, hari ini.

Difahamkan, Muhammad Adlan yang menghilangkan diri sejak lebih dua tahun lalu, kini dipercayai menjalani kehidupan mewah di sebuah negara Asia Barat.

Dalam perkembangan sama Azam memberitahu, pihaknya percaya Muhammad Adlan menggunakan pasport bukan Malaysia untuk keluar negara.

Menurut beliau, pasport Malaysia milik Muhammad Adlan telah dibatalkan dan tidak boleh diperbaharui.

“Pasport Malaysia beliau telah dibatalkan. Jadi, kemungkinan besar pergerakannya ke luar negara adalah menggunakan pasport lain dan saya yakin ia bukan pasport Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, Azam menjelaskan bahawa usaha menjejaki aset Muhammad Adlan di luar negara bukan sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan kerjasama daripada agensi penguat kuasa asing.

“Kita perlukan masa untuk mengesan aset-aset tersebut. Walaupun aset itu dapat dikesan, kita masih perlu menentukan sama ada ia mempunyai kaitan dengan kes yang sedang disiasat,” jelasnya.

Tambah beliau, SPRM juga belum mengenal pasti sama ada Muhammad Adlan menggunakan individu lain sebagai proksi untuk menguruskan asetnya di luar negara.

“Ini antara cabaran yang kita hadapi. Kita tidak akan memanggil lagi mana-mana pihak untuk memberi kenyataan kerana pada pandangan kita, siasatan kes ini telah selesai,” katanya.

Muhammad Adlan dikehendaki oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes pecah amanah jenayah, manakala Mansoor, 70, dilaporkan melarikan diri ke luar negara tidak lama selepas Muhammad Adlan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast