Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Desas-desus mengenai kemasukan semula bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ke dalam parti itu kembali hangat, namun beberapa sumber tertinggi UMNO menegaskan perkara tersebut masih terlalu awal untuk disahkan.

Menurut sumber dalaman kepada MalaysiaGazette, Khairy dijangka kembali ke pentas politik menerusi rombakan Kabinet yang dijangka berlaku pada November ini, namun bukan sebagai wakil politik atau ahli parti.

Sumber itu mendakwa, Khairy berkemungkinan besar akan dilantik sebagai Senator atas kapasiti profesional dan bukan partisan.

Langkah itu dilihat sebagai strategi awal bagi menilai semula penerimaan beliau dalam kalangan pemimpin serta akar umbi parti sebelum sebarang keputusan rasmi dibuat.

“Belum lagi, saya dengar beliau akan masuk Kabinet sebagai Ahli Dewan Negara dalam kapasiti profesional, bukan ahli politik. Tapi kalau ikut perancangan, penyertaan semula dalam UMNO hanya selepas Perhimpunan Agung UMNO 2025 (PAU) sekitar Januari 2026,” kata sumber itu kepada MalaysiaGazette.

Sumber berkenaan menjelaskan bahawa pendekatan tersebut bukan sesuatu yang baharu kerana situasi serupa pernah berlaku ketika pelantikan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang pada awalnya turut menyertai Kabinet sebagai tokoh profesional sebelum diserap ke dalam Barisan Nasional.

“Dia akan masuk sebagai tenaga profesional, tapi kerusi itu memang untuk UMNO juga. Cuma kali ini parti ambil pendekatan lebih berhati-hati,”dakwanya.

Namun, penerimaan terhadap Khairy dalam kalangan ahli parti masih bercampur.

Sumber akar umbi UMNO memberitahu, masih ramai yang kurang senang dengan bekas Ahli Parlimen Rembau itu selepas episod pemecatannya tahun lalu.

“Ramai ahli UMNO anggap KJ ini ‘one-man show’ dan terlalu lantang terhadap kepimpinan parti serta presiden,” katanya.

Walau bagaimanapun, sumber itu mengakui bahawa di mata rakyat, Khairy masih mempunyai daya tarikan tersendiri.

“Untuk rakyat, KJ masih dilihat sebagai pemimpin berkarisma. Dia berpendidikan, berkeyakinan dan ada gaya pemimpin nasional. Ramai percaya dia boleh hidupkan semula semangat dalam UMNO,” ujarnya.

Seorang lagi sumber tertinggi UMNO pula menolak laporan media yang mendakwa kemasukan semula Khairy sudah hampir pasti.

“Tak mungkin begitu cepat. Artikel hari ini sekadar seladar jolok-menjolok je,” katanya ringkas.

Dalam masa sama, seorang sumber lain berpendapat bahawa Khairy kini berada pada fasa kematangan politik selepas melalui tempoh yang sukar.

“Tak ada siapa yang sempurna. Ini semua sebahagian daripada proses untuk matang dalam hidup. Saya rasa KJ dah belajar cara susah,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, Khairy kini lebih realistik dalam menilai laluan politiknya.

“Dia tahu sekarang hanya UMNO parti sebenar yang boleh pimpin negara ini. Memang ada parti lain yang cuba ajak dia, tapi KJ bijak. Dia tahu hanya melalui UMNO dia boleh kembali ke gelanggang dengan sorotan cahaya,” katanya.

Namun begitu, sumber berkenaan menegaskan sekiranya Khairy benar-benar berhasrat untuk kembali ke pangkuan UMNO, beliau perlu mengikut saluran dan tatacara yang telah ditetapkan oleh parti.

“Dalam UMNO semua kena ikut sapitan yang betul. Pertama, kena hantar surat rayuan rasmi kepada parti. Lepas itu barulah dibawa ke mesyuarat Biro Politik dan kemudian dibentangkan dalam Majlis Kerja Tertinggi untuk diputuskan. Akhirnya, Presiden akan buat keputusan muktamad.

“Itu prosedur parti. Tak boleh langkau atau shortcut, walau siapa pun orangnya,” tegas sumber berkenaan.

Sumber sama menambah sebarang perkembangan berkaitan kemasukan semula Khairy mungkin hanya akan dipertimbangkan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah nanti.

“Saya rasa mungkin selepas PRN Sabah kot. Cuma sudah tentu KJ akan turun ke Sabah untuk tunjukkan kepada akar umbi dan Presiden bahawa beliau yakin hanya UMNO dan BN yang boleh membela rakyat dengan sebaik-baiknya,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast