KUALA LUMPUR – Kolej Komuniti Selayang (KKSY) mencipta sejarah tersendiri apabila diterima secara rasmi sebagai ahli CDIO Initiative (Conceive – Design – Implement – Operate), sebuah rangka kerja pendidikan antarabangsa berprestij yang diasaskan oleh Massachusetts Institute of Technology (MIT) yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Keanggotaan ini merupakan pengiktirafan penting terhadap usaha berterusan KKSY dalam memperkukuh kualiti pendidikan dan latihan teknikal (TVET) berasaskan piawaian antarabangsa.
CDIO merupakan pendekatan inovatif yang menekankan pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar melalui empat fasa utama — Conceive (Mereka Bentuk Konsep), Design (Reka Bentuk), Implement (Pelaksanaan) dan Operate (Pengoperasian).
Pendekatan ini memberi penekanan kepada penguasaan teori dan kemahiran teknikal yang seimbang dengan kemahiran insaniah
seperti komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan. Ia kini menjadi model rujukan antarabangsa dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, inovatif dan berdaya saing.
Kolej Komuniti Selayang merupakan satu-satunya institusi dalam rangkaian Kolej Komuniti di Malaysia yang diterima sebagai ahli rasmi CDIO, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju inovasi dalam pendidikan TVET.
Menurut Pengarah KKSY, Ahmad Rizal Omar, pengiktirafan ini menjadi penanda aras baharu terhadap komitmen kolej dalam memperkasa kurikulum berasaskan amalan industri sebenar.
Beliau turut menjelaskan, pendekatan CDIO akan diterapkan dalam pelbagai program utama seperti Diploma Teknologi Seni
Permainan, Sijil Rekabentuk Dalaman, Sijil Kulinari dan program-program lain bagi memastikan pelajar dilatih secara holistik dan memenuhi keperluan pasaran kerja semasa.
Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi Kerajaan Malaysia yang menekankan pembangunan insan holistik, inovasi berterusan dan kecekapan dalam penyampaian pendidikan.
Penerapan rangka kerja CDIO secara langsung menyokong agenda kerajaan untuk memperkukuh ekosistem TVET nasional sebagai pemacu kemahiran masa depan dan menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan teknikal bertaraf dunia.
Melalui pelaksanaan CDIO, KKSY beriltizam melahirkan graduan yang bukan sahaja menguasai aspek teknikal dan kreatif, tetapi juga memiliki nilai profesional, etika kerja yang tinggi serta kesedaran terhadap tanggungjawab sosial dan sejajar dengan nilai-nilai teras Malaysia Madani. – MalaysiaGazette
















