Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perlindungan keselamatan sosial kepada semua pekerja formal akan diperluas dengan liputan menyeluruh selama 24 jam sehari dan tidak terhad kepada waktu bekerja sahaja.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berkata, langkah itu akan dilaksanakan melalui pengenalan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja atau Lindung 24/7 yang merupakan inisiatif terbaharu di bawah LINDUNG Pekerja oleh PERKESO.

Tambahnya, pekerja formal akan menerima pelbagai faedah termasuk Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Faedah Orang Tanggungan (FOT), Elaun Layanan Sentiasa (ELS), Faedah Pengurusan Mayat (FPM), Faedah Pemulihan dan Faedah Pendidikan.

“Dalam era kerja fleksibel dan jarak jauh, pembaharuan ini bertujuan menyesuaikan perlindungan dengan realiti kehidupan serta corak pekerjaan masa kini, sambil mengiktiraf bahawa kemalangan dan kecederaan boleh berlaku pada bila-bila masa,” kata kenyataan itu lagi.

Bagi melaksanakan langkah tersebut, KESUMA memaklumkan, bacaan pertama Rang Undang-Undang bagi pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 [Akta 4] telah dibentangkan di Dewan Rakyat.

Katanya, menerusi pindaan Akta 4, sejumlah 10 juta pekerja dijangka boleh menerima manfaat sekiranya berlaku kemalangan di luar waktu kerja di mana-mana tempat dan pada bila-bila masa.

Tambahnya, pengenalan LINDUNG 24/7 bukan sahaja meningkatkan perlindungan kepada pekerja dan keluarga mereka, malah membantu mengurangkan tekanan terhadap sistem kesihatan awam negara dengan memastikan mangsa kemalangan terus mendapat bantuan kewangan dan pemulihan sewajarnya.

Berdasarkan rekod PERKESO antara tahun 2018 hingga 31 Ogos 2025, sebanyak 26,865 kes tuntutan telah ditolak kerana dikategorikan sebagai bukan bencana kerja, situasi yang kini dapat diatasi melalui pelaksanaan LINDUNG 24/7.

Bacaan kedua dan ketiga Pindaan Akta 4 akan dibentangkan oleh Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong dan dibahaskan di Parlimen Disember ini.

Pindaan akta tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan setiap pekerja di Malaysia sentiasa dilindungi, setiap masa dan di mana jua mereka berada. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast