BANGSAR – Ketika dunia terhenti akibat pandemik COVID-19, ramai memilih untuk berehat, mencari ketenangan atau sekadar menunggu hari berlalu.
Namun berbeza dengan Menteri Sumber Manusia (Kesuma), Steven Sim Chee Keong yang menggunakan sepenuhnya waktu berkenaan untuk menelusuri sejarah bangsa dan menulis tentang seorang lelaki yang berjuang tanpa mengharapkan pujian iaitu Dr M.P.L. Yegappan.
“Waktu pandemik, semua orang ada masa untuk refleksi. Saya pula gunakan masa itu untuk menulis. Mula-mula niat saya hanya nak tulis satu artikel pendek tentang seorang tokoh India di Bukit Mertajam.
“Tapi bila saya gali lebih dalam, saya sedar kisah beliau terlalu besar untuk dibiarkan begitu saja,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette pada majlis Deepavali untuk media Tamil di Bangsar malam tadi.

Hasil daripada penyelidikan itu lahirlah buku Heart of Service: The Untold Story of Dr M.P.L. Yegappan, diterbitkan oleh Clarity Publishing dan World Scientific setebal hampir 200 halaman yang kini menjadi antara karya biografi sejarah tempatan paling menyentuh hati tahun ini.
Apabila ditanya mengenai cabaran menulis buku tersebut, Steven mengakui prosesnya amat mencabar dan penuh emosi.
“Kebanyakan mereka yang mengenali mendiang Dr Yegappan sudah tiada. Nak cari sumber lisan memang susah. Tapi saya tetap teruskan saya selidik arkib, baca laporan lama, pergi ke perpustakaan negeri, malah cari bahan di India, Singapura dan United Kingdom,” katanya.
“Saya ‘all out’ sebab saya rasa kisah beliau mesti diceritakan. Kalau tidak, generasi baru takkan tahu siapa antara tokoh yang membina asas negeri Pulau Pinang,” jelas beliau lagi.
Bagi Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu, setiap halaman yang ditulis adalah perjalanan mengenali jiwa seorang manusia luar biasa bukan sekadar tokoh politik, tetapi simbol kepimpinan berjiwa rakyat.
Untuk makluman, Dr Yegappan ialah anak jati komuniti Nattukottai Chettiar yang berhijrah ke Tanah Melayu sewaktu remaja dan menubuhkan klinik peribadi di Bukit Mertajam sebelum aktif dalam masyarakat dan politik tempatan.
Pada usia muda, beliau dilantik sebagai pengerusi majlis bandar terpilih pertama Bukit Mertajam, kemudian sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pulau Pinang pada era 1950-an hingga 1960-an.
“Zaman itu orang masuk politik bukan sebab nak kaya. Dia masuk sebab nak berkhidmat. Dia seorang doktor, tapi masa dan tenaga banyak digunakan untuk bantu rakyat. Itu semangat sebenar ‘service before self’ ujarnya sedikit emosi.
Antara fakta paling penting dalam buku itu ialah peranan besar Dr Yegappan dalam penubuhan universiti pertama di Pulau Pinang, yang akhirnya berkembang menjadi Universiti Sains Malaysia (USM).
“Saya jumpa rekod rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menunjukkan beliau yang membentangkan usul asal untuk menubuhkan universiti. Malah keluarga beliau sendiri pun tidak tahu hal ini. Bila saya temui bukti itu, saya tahu saya perlu menulis buku ini,” katanya.
Steven menyerahkan naskhah buku itu kepada kerajaan negeri Pulau Pinang dan berhasrat menghadiahkannya kepada pihak USM sebagai sebahagian daripada warisan sejarah negeri tersebut.
Antara kandungan menarik yang sudah dibaca oleh MalaysiaGazette termasuklah beberapa bahagian utama yang memaparkan kehidupan dan perjuangan Dr Yegappan secara kronologi, zaman kanak-kanak dan pendidikan beliau di India serta penghijrahan ke Tanah Melayu.
Juga memaparkan kerja beliau sebagai doktor perubatan yang merawat tanpa mengira kaum dan latar belakang, memperincikan perjuangannya dalam politik tempatan sebagai ahli majlis bandar, pejuang pendidikan dan aktivis masyarakat selain kisah usul penubuhan universiti serta sumbangan beliau terhadap pembangunan negeri pasca-Merdeka.
Selain itu, buku ini juga berjaya menelusuri pengaruhnya terhadap masyarakat Pulau Pinang dan bagaimana semangatnya masih relevan hari ini.
Buku itu turut mengandungi foto-foto arkib, keratan akhbar lama, dan dokumen rasmi kerajaan negeri Pulau Pinang termasuk ucapan dan surat beliau kepada komuniti setempat.
Setiap bab diakhiri dengan refleksi penulis, menggambarkan bagaimana nilai dan perjuangan tokoh itu masih hidup dalam konteks Malaysia moden.
Melalui bab-bab ini, Steven bukan sahaja menulis biografi, tetapi juga melakar gambaran sosial Pulau Pinang pada era kolonial hingga awal kemerdekaan ketika perpaduan dan keikhlasan menjadi tunjang kepimpinan masyarakat.
“Saya bukan tulis buku ini untuk popular tetapi sebab saya tak nak wira-wira macam Dr Yegappan dilupakan. Dia bukan pemimpin besar di peringkat nasional, tapi sumbangannya kepada masyarakat luar biasa,” ujarnya yang turut berharap buku berkenaan menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda tanpa mengira latar belakang.
Dr Yegappan meninggal dunia pada tahun 1972 pada usia 57 tahun, namun semangatnya masih menjadi inspirasi kepada masyarakat Pulau Pinang dan negara. -MalaysiaGazette















