Roslan menunjukkan antara barang curi yang dirampas selepas menahan dua lelaki, selepas sidang akhbar di IPD Tangkak, Tangkap hari ini.

TANGKAK – Polis memberkas dua lelaki kerana terlibat mencuri kenderaan dan pecah rumah serta merampas pelbagai barang curi selepas melakukan dua serbuan berasingan di daerah ini Isnin lalu.

Sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak melakukan tangkapan pukul 1.20 pagi di Kampung Serom 4, Sungai Mati dan Taman Serom Delima, Serom 3, Sungai Mati.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, hasil serbuan berjaya menahan dua lelaki yang terlibat dalam kegiatan curi kenderaan dan pecah rumah di sekitar daerah ini.

“Hasil siasatan setakat ini mendapati suspek terlibat dalam empat kes antaranya mencuri, curi kenderaan dan pecah rumah di Tangkak, Kebun Baru dan Sungai Mati.

“Dengan tertangkapnya suspek ini pihak polis berjaya membuat beberapa rampasan antaranya empat telefon bimbit, sebatang kunci motosikal jenama Jinkun, sebatang kunci motosikal elektrik dan sebuah motosikal elektrik,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Tangkak di sini hari ini.

Katanya, turut dirampas sebuah televisyen, sebuah komputer riba, sebuah lori satu tan warna merah, pam air, alat pemotong, mesin pengisar dan mesin gerudi.

Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 379A, Seksyen 379, Seksyen 453 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua suspek katanya, ditahan reman selama empat hari bermula Isnin.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast