Kerja pemecahan batuan, pembersihan lumpur serta pengalihan pokok yang menghalang laluan berkenaan telah siap hari ini.

BALIK PULAU – Jalan Tun Sardon yang ditutup susulan kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang pada 23 Oktober lalu dibuka semula kepada pengguna pada jam 8 malam ini selepas kerja pembersihan selesai dijalankan.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri telah menyiapkan kerja pemecahan batuan, pembersihan lumpur serta pengalihan pokok yang menghalang laluan berkenaan.

“JKR bertungkus-lumus di tapak bagi memastikan jalan berkenaan dapat dibuka semula kepada pengguna.

“Tinggal sedikit kerja akhir dan P14 Jalan Tun Sardon dibuka mulai jam 8 malam ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zairil berkata, walaupun laluan akan dibuka semula, kerja menutup cerun runtuh dengan kanvas masih diteruskan dan setakat ini siap sekitar 70 peratus.

“Kerja masih dijalankan di kawasan cerun, jadi pengguna diminta mematuhi Pelan Pengurusan Trafik (TMP) yang dipasang di sepanjang laluan serta memandu dengan berhati-hati,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Jalan Tun Sardon yang menjadi laluan utama menghubungkan Georgetown dengan Balik Pulau ditutup sepenuhnya selepas kejadian cerun runtuh dan pokok tumbang kira-kira jam 5 petang pada 23 Oktober lalu.

Menurut Zairil, kegagalan cerun kritikal di Kilometer 5.10 berpunca daripada hujan lebat serta angin kencang, menyebabkan satu runtuhan cerun utama, 15 cerun terbuka, tujuh pokok tumbang, empat kejadian jatuhan batu dan satu mendapan jalan.

“Beberapa lokasi lain di sepanjang laluan turut terjejas dengan pokok tumbang dan batu besar jatuh, termasuk yang berdiameter sehingga lima kaki,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast