KUALA LUMPUR – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu mengecam tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang didakwa menggunakan kata-kata berunsur intimidasi terhadap wartawan Utusan Malaysia baru-baru ini.
Ketua Penerangan Armada, Harris Idaham Rashid berkata, kenyataan menteri itu yang berbunyi “I will remember, I will call your chief editors” dan “I will hold Utusan, I will call your chief editors” jelas menunjukkan sikap angkuh serta tidak menghormati kebebasan media.
Menurutnya, kenyataan tersebut dibuat selepas wartawan berkenaan bertanya mengenai penggunaan nama projek “I Lite U” yang menggunakan bahasa Inggeris dan bukannya bahasa Melayu.
“Persoalan itu adalah wajar kerana Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan rasmi negara.
“Namun, menteri berkenaan bersikap terlalu defensif seolah-olah enggan memperkasakan bahasa Melayu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Harris turut menolak alasan Kor Ming penggunaan bahasa Inggeris lebih sesuai sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 kononnya bagi memberi ‘sense of belonging’ kepada pelancong asing.
“Penjelasan itu sangat dangkal dan tidak masuk akal. Pelancong datang ke Malaysia untuk mengenali identiti negara, budaya serta adat ketimuran kita. Nama dalam bahasa Melayu sepatutnya menjadi kebanggaan,” ujarnya.
Katanya lagi, negara seperti Perancis tetap mengekalkan nama asal destinasi pelancongan mereka seperti Champs-Élysées dan Musée du Louvre tanpa perlu menukar kepada bahasa Inggeris, namun tetap menarik jutaan pelawat setiap tahun.
Armada turut menyeru agar semua organisasi media menunjukkan solidariti dengan tidak memberi liputan kepada menteri tersebut sebagai tanda protes terhadap tindakan yang dianggap tidak menghormati wartawan.
“Tindakan menghukum wartawan kerana bertanya soalan relevan tidak sepatutnya berlaku dalam dunia kewartawanan moden. Ini bukan budaya yang patut diterima dalam era Malaysia Madani,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















