JOHOR BAHRU – Pembangkang kini lebih selesa bermain politik fitnah, mencetuskan kekeliruan dan memburukkan imej negara daripada menjalankan tanggungjawab semak dan imbang yang konstruktif.
Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Jalex Lee En Xiang berkata, politik sedemikian tidak membawa manfaat kepada rakyat, malah hanya menonjolkan ketidakmatangan serta ketandusan idea untuk membina Malaysia yang lebih baik.
“Sudah tiba masanya pembangkang menunjukkan kebertanggungjawaban, bukan sekadar mencari publisiti murahan melalui retorik dan serangan peribadi. Ini berbeza dengan PMX.
“Selepas menghadiri sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang menghimpunkan para pemimpin serantau bagi membincangkan isu-isu besar berkaitan ekonomi, keselamatan dan kerjasama serantau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa rehat terus bergegas ke Parlimen.
“Beliau hadir untuk sesi Prime Minister’s Question Time (PMQT) bagi menjawab soalan-soalan penting yang menyentuh kebajikan, kesejahteraan dan masa depan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, komitmen ini sekali lagi membuktikan bahawa PMX meletakkan tanggungjawab terhadap rakyat dan negara di tempat teratas.
Anwar katanya, terus membuktikan kepimpinan berasaskan integriti, dedikasi dan kerja keras dalam keadaan jadual yang padat serta tanggungjawab antarabangsa yang besar namun tetap memastikan urusan rakyat tidak diketepikan.
“Inilah contoh kepimpinan sebenar, pemimpin yang bekerja demi rakyat, bukan demi kepentingan peribadi atau parti.
“Malaysia memerlukan lebih ramai pemimpin seperti ini, yang memahami erti amanah dan meletakkan kepentingan negara di atas segalanya,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















