KUANTAN – Penduduk di Taman Bukit Rangin Perdana 2, di sini bimbang ban pencegah banjir berhampiran kawasan perumahan mereka yang runtuh baru-baru ini masih terbiar dan belum dibaiki.
Seorang penduduk, Yusnizar Mohd Zaidi, 44, berkata, dia semakin risau kerana musim tengkujuh bakal tiba tidak lama lagi dan rumahnya yang terletak kira-kira 15 meter dari lokasi ban runtuh berisiko dinaiki air.
“Ban pencegah banjir ni runtuh bermula bulan April tahun ini selepas kerja-kerja mendalamkan kolam di sini bermula tahun lepas. Kami yang duduk di sini sudah membuat lebih lima laporan dan aduan kepada pihak-pihak berwajib.
“Ada yang datang untuk meninjau tapak runtuhan, tapi katanya tak dapat berbuat apa-apa kerana struktur tanah yang tidak kuat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Yusnizar yang merupakan ibu kepada tiga anak itu berkata, kewujudan ban itu sebelum ini mampu mengelakkan banjir buruk di kawasan perumahan itu.
Namun, jika berlaku hujan lebat berterusan memasuki musim Monsun Timur Laut (MTL) tidak lama lagi, dia bimbang kolam berkenaan tidak dapat menampung air dan melimpah ke rumahnya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Khairul Azlan Mohd Salim, 41 pula memberitahu, jika ban itu tidak dibaiki segera, dikhuatiri hampir 1,500 rumah penduduk di kawasan itu terjejas menjelang MTL nanti.
“Sebelum ni pada tahun 2021 ketika ban ni masih elok pun masa musim banjir tu air naik sampai paras 1 meter di sini. Kalau dengan ban pencegah banjir ni tak dibaiki lagi, tak tahulah saya,” katanya yang menetap di sini sejak tahun 2015.

Dia turut bimbang keadaan runtuhan tanah di lokasi itu yang semakin merebak dengan rekahan dapat dilihat jelas di atas jalan bersebelahan ban pencegahan banjir yang runtuh itu.
Justeru, bapa kepada tiga anak itu memohon mana-mana pihak bertanggunjawab agar menyegerakan proses pembaikan runtuhan sebelum memasuki MTL nanti.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Tarmizi Yahaya yang hadir di lokasi turut menyeru agar pihak bertanggungjawab dapat mencari penyelesaian tuntas permasalahan yang dihadapi penduduk Taman Bukit Rangin Perdana 2 ini.

“Minta projek ini disegerakan sebab dah nak masuk MTL. Tak bolehlah kalau semua jabatan tuding menuding jari untuk selesaikan sebab penduduk yang jadi mangsa.
“Rumah pam semua dah disiapkan. Tapi memang takkan berguna kalau ban ni tak dibaiki awal,” katanya. – MalaysiaGazette
















