MELAKA – Penemuan rangka kapal kayu gergasi berusia antara 800 hingga 900 tahun di Pulau Melaka mencatat sejarah dunia arkeologi negara apabila disahkan antara kapal tertua pernah ditemui di Malaysia, dipercayai milik seorang pembesar Kesultanan Melayu Melaka.
Tapak ekskavasi berkeluasan 12×12 meter itu kini memasuki fasa ketiga kerja penyelamatan, dijalankan oleh Jabatan Warisan Negara (JWN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka melalui Perbadanan Muzium Melaka (Perzim).
Ujian pentarikhan saintifik terhadap sampel kayu kapal yang dihantar ke makmal Beta Analytic, Amerika Syarikat, menunjukkan usia struktur itu dianggarkan dari abad ke-13 Masihi, hampir menyamai catatan sejarah penubuhan Kesultanan Melayu Melaka kira-kira pada tahun 1262 Masihi.
Timbalan Pesuruhjaya JWN, Ruzairy Arbi berkata, penemuan kapal purba itu disifatkan antara yang terbesar dan paling signifikan di rantau ini.
“Dua sampel kayu yang diuji menunjukkan pentarikhan antara tahun 1200 hingga 1300 Masihi dengan struktur serta ukuran fizikal hampir menyamai kapal legenda Mendam Berahi, lambang keagungan empayar Melaka.
“Ini membuktikan kapal ini dibina jauh lebih awal daripada kehadiran kuasa penjajah di rantau ini.
“Saiz kapal ini antara 50 hingga 70 meter panjang menjadikannya jauh lebih besar daripada kapal yang pernah ditemui sebelum ini seperti Pontian Boat di Pahang,” katanya pada sidang media di tapak ekskavasi di Pulau Melaka, Banda Hilir, hari ini.

rangka kapal kayu gergasi berusia antara 800 hingga 900 tahun dipercayai milik pembesar Kesultanan Melayu Melaka di tapak ekskavasi Pulau Melaka.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kapal berkenaan dibina menggunakan kayu saga dan merbau, dua spesies kayu tempatan yang banyak digunakan masyarakat maritim Nusantara, sekali gus menolak teori ia kapal asing atau penjajah.
“Kajian menunjukkan bahan binaan kapal ini sepenuhnya berciri tempatan menandakan kapal berkenaan dihasilkan oleh tukang Melayu sendiri.
“Ini satu bukti nyata kehebatan teknologi perkapalan Melaka pada zaman yang lampau,” katanya sambil menambah fasa pertama ekskavasi dijalankan pada tahun 2020, diikuti fasa kedua pada 2021 oleh Perzim.
Tambahnya, fasa ketiga kini diteruskan oleh JWN dengan peruntukan RM200,000 daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi menyelamat serta mengeluarkan keseluruhan rangka kayu dan artifak untuk kerja konservasi.
“Rangka kapal ini dijangka akan dipindahkan ke muzium khas oleh Perzim selepas proses konservasi selesai bagi membolehkan orang ramai dan pelancong menyaksikan sendiri kehebatan teknologi maritim Melayu purba.
“Ini menjadi menjadi bukti keunggulan Melaka sebagai pusat perdagangan dan peradaban maritim Asia Tenggara,” katanya.
Turut ditemui di kawasan sama ialah duit syiling zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah serta serpihan porselin, yang dipercayai menjadi petunjuk bahawa kapal itu milik pembesar Kesultanan Melayu Melaka.
Malaysia sebelum ini pernah mencatat penemuan penting seperti Pontian Boat di Pahang yang berusia lebih 600 tahun dan kapal Lobo di Brunei, namun penemuan terbaru ini dikatakan melangkaui usia dan skala kedua-duanya.
Penemuan terbaharu ini turut memperkukuh teori bahawa Lembah Melaka sudah menjadi pelabuhan penting di Selat Melaka sebelum era Kesultanan Melayu Melaka. – MalaysiaGazette
















